Ahli GISBH dera kanak-kanak dituduh esok

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang juga ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan didakwa pada Khamis kerana disyaki mendera kanak-kanak ketika di bawah jagaan salah sebuah rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan terhadap lelaki itu akan dilakukan di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.

“Kita akan tuduh suspek yang dikaitkan dengan video tular mendera kanak-kanak di bawah rumah amal dikaitkan dengan GISBH esok,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pendakwaan berkenaan akan dilakukan di mahkamah berkenaan pada jam 8.45 pagi mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera.

Polis juga telah mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum ini yang dipisahkan dengan bapanya sejak 2021.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki didakwa didera itu tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!