Lapan tong disyaki bahan kimia dibuang dalam sungai

Lapan tong berwarna biru disyaki mengandungi bahan kimia ditemui di parit kawasan perindustrian Jalan Desa Aman.
Lapan tong berwarna biru disyaki mengandungi bahan kimia ditemui di parit kawasan perindustrian Jalan Desa Aman.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Sebanyak lapan tong disyaki mengandungi bahan kimia ditemukan di parit kawasan perindustrian Jalan Desa Aman di sini.

Exco Kesihatan dan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, tong tidak berlabel itu dikesan berada di lokasi terbabit sekitar jam 2 petang, Selasa.

Menurutnya, semakan dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengesan bau kuat seakan bahan kimia di lokasi pembuangan tersebut.

"Pihak MPS telah menutup kawasan itu untuk tindakan siasatan dan pencegahan lanjut.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel tong berkenaan dengan menggunakan kelengkapan keselamatan pengendalian bahan terjadual susulan kandungan yang disyaki bahan kimia," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Selain itu katanya, pihak LUAS telah melakukan pensampelan untuk analisis lanjut dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 telah dibuka untuk tindakan penguatkuasaan.

Semakan dilakukan LUAS dan MPS mengesan bau kuat seakan bahan kimia di lokasi pembuangan tersebut.
Semakan dilakukan LUAS dan MPS mengesan bau kuat seakan bahan kimia di lokasi pembuangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ia disusuli kerja-kerja pembersihan di lokasi dilaksanakan oleh MPS.

Beliau berkata, tindakan pencegahan segera itu dapat mengelak impak lebih besar kepada sumber air khususnya sungai.

Ujarnya, kerajaan negeri dan LUAS menghargai penyampaian maklumat daripada masyarakat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan sumber air negeri

"Ini membuktikan masyarakat semakin sedar akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar khususnya sungai yang perlu dijaga meskipun aliran sungai berkenaan tidak melibatkan muka sauk loji rawatan air dan bekalan air.

"Kerajaan negeri mengingatkan semua pihak tidak menjadikan kawasan sumber air terutamanya sungai sebagai tempat pembuangan sampah dan sisa," katanya.

Beliau menyeru orang awam membuat laporan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!