Op Global: Kronologi kes GISBH setakat 25 September

Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu membenarkan permohonan sambung reman selama empat hari terhadap 24 individu termasuk pemimpin kanan GISBH. Foto Bernama
Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu membenarkan permohonan sambung reman selama empat hari terhadap 24 individu termasuk pemimpin kanan GISBH. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Op Global yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama yang dikaitkan dengan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kini sudah memasuki fasa empat.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, 572 mangsa diselamatkan serta tujuh suspek berjaya dituduh di mahkamah dengan 29 pertuduhan.

Berikut adalah kronologi kes yang dikemaskini dari 22-25 September 2024:

22 September

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, hasil rampasan Op Global fasa keempat oleh polis dan beberapa agensi lain termasuk Jakim boleh dijadikan bukti sokongan untuk menentukan status pegangan akidah pengikut kumpulan GISBH.

Beliau berkata, bahan-bahan bukti berkenaan akan dijadikan asas dalam Kertas Laporan untuk dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) pada 24 hingga 26 September.

Di Selangor, seramai 29 individu berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun direman antara satu hingga tujuh hari untuk membantu siasatan dan mereka ditahan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Subang Jaya serta Petaling Jaya.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada 29 individu yang dikaitkan dengan GISBH direman antara satu hingga tujuh hari untuk membantu siasatan. Foto Bernama
Sebahagian daripada 29 individu yang dikaitkan dengan GISBH direman antara satu hingga tujuh hari untuk membantu siasatan. Foto Bernama

Di Negeri Sembilan, Mahkamah Rendah Syariah membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terhadap pengerusi dan pengetua sebuah madrasah di Kuala Pilah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

Di Perlis, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Najmuddin Abdul Karim berkata, 63 barangan berkaitan ajaran sesat berunsur batiniah telah dirampas dalam operasi bersepadu di dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH di sekitar negeri itu pada 21 September lepas.

23 September

Siasatan polis mendapati ahli GISBH masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah, iaitu amalan ahli kumpulan Al-Arqam susulan penemuan risalah dan buku-buku di premis milik GISBH menerusi Op Global yang dilancarkan bulan ini.

Pada fasa empat Op Global pada 21 September lepas, helaian janggut yang disimpan di dalam bekas khas merupakan antara barangan yang dirampas selain 455 risalah dan logo berkaitan ajaran Al-Arqam.

Anggota PDRM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) merampas barangan perhiasan, termasuk buku-buku ajaran sesat dan dokumen berkaitan GISBH, dalam serbuan di tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga pengurusan tertinggi GISBH di Kampung Panji, Kota Bharu. Foto Bernama
Anggota PDRM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) merampas barangan perhiasan, termasuk buku-buku ajaran sesat dan dokumen berkaitan GISBH, dalam serbuan di tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga pengurusan tertinggi GISBH di Kampung Panji, Kota Bharu. Foto Bernama

Setakat ini, sebanyak 138 akaun berkaitan GISBH telah dibekukan membabitkan wang berjumlah RM882,795.94 dan 15 lagi akaun telah ditutup serta 22 kereta pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085.00 dan 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan turut dibekukan.

Selain itu, 16 kereta pelbagai jenis bernilai RM2,078,000 serta 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga ekor burung merak, serta wang tunai RM18,650 pula disita.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil alih aspek pendidikan bagi lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global mulai 1 Okt ini.

24 September

Di Negeri Sembilan, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bertindak menyita beberapa barangan perniagaan restoran makanan yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan di Seremban 2 selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen perniagaan dan mengubah suai premis tanpa kebenaran.

Suasana di sekitar kawasan premis yang dipasang tali garisan kuning selepas penguatkuasa Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS menyita beberapa barangan perniagaan restoran makanan yang didakwa mempunyai kaitan dengan GISBH di Seremban 2. Foto Bernama
Suasana di sekitar kawasan premis yang dipasang tali garisan kuning selepas penguatkuasa Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS menyita beberapa barangan perniagaan restoran makanan yang didakwa mempunyai kaitan dengan GISBH di Seremban 2. Foto Bernama

Dalam pada itu isu berkenaan turut mendapat perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di mana baginda bertitah agar tindakan lanjut termasuk proses undang-undang berkaitan isu GISBH dipercepat.

25 September

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 34 individu yang dikaitkan dengan GISBH yang telah tamat menjalani tempoh reman hari ini akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau berkata, pihaknya juga telah memperoleh lanjutan reman terhadap 24 ahli GISBH, termasuk pengurusan tertinggi organisasi itu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula esok.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menurunkan sebarang kandungan berkaitan GISBH termasuk lagu yang tular jika mendapat arahan untuk berbuat demikian daripada pihak polis.

Di Selangor, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan penahanan 24 individu termasuk pemimpin kanan GISBH selama empat hari iaitu hingga 28 September ini bagi membantu siasatan manakala permohonan bebas dengan bon terhadap 22 wanita ditolak.

Dalam pada itu, lapan buah sekolah pengajaran Islam persendirian yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan GISBH di negeri ini telah diarah tutup oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Di Kelantan, seramai empat individu berusia lingkungan 15 hingga 45 tahun yang dikaitkan dengan GISBH direman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini hari ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!