Taasub melampau, pengikut GISBH rela dianiaya, jadi mangsa penderaan

Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan sambung reman selama empat hari terhadap 24 individu termasuk pemimpin kanan GISBH. Foto Bernama
Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan sambung reman selama empat hari terhadap 24 individu termasuk pemimpin kanan GISBH. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketaasuban melampau kepada kepimpinan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dikatakan menjadi punca pengikut kumpulan itu sanggup ‘menggadaikan’ kehidupan mereka dan ahli keluarga demi organisasi dan pemimpin.

Ketaasuban juga menjadikan para pengikut organisasi itu rela menjadi mangsa penganiayaan dan penderaan malah dalam soal kewangan pun mereka amat bergantung kepada kepimpinan GISBH.

Akibat kekangan kewangan kerana terlalu bergantung kepada kepimpinan tertinggi organisasi, pihak Polis Diraja Malaysia percaya pengikut GISBH masih berada dalam negara kerana sukar meninggalkan tanah air.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka tiada kemampuan untuk melarikan diri ke sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Kelantan kerana pemimpin GIBSH yang memegang segala dana, elaun dan kewangan telah ditahan selain akaun kumpulan itu dibekukan baru-baru.

Sementara itu, 34 individu yang dikaitkan dengan GISBH yang tamat menjalani tempoh reman hari ini ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membantu siasatan.

Razarudin berkata, polis juga telah memperoleh lanjutan reman terhadap 24 pengikut kumpulan berkenaan termasuk pengurusan tertinggi organisasi itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula esok.

Beliau berkata, siasatan mendapati kaedah perniagaan GISBH dipermudah melalui pegangan terhadap Aurad Muhammadiah versi organisasi itu.

Siasatan juga mendapati berlandaskan ketaasuban dan sikap mendewakan pemimpin, kumpulan ini dikatakan sanggup memutarbelitkan ajaran Islam yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kementerian Komunikasi juga akan bertindak terhadap kumpulan itu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan menurunkan sebarang kandungan berkaitan GISBH termasuk lagu yang tular jika mendapat arahan untuk berbuat demikian daripada pihak polis.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya juga telah meminta MCMC meneliti dan memantau kandungan di media sosial yang berkaitan dengan GISBH.

Dalam pada itu, pembongkaran aktiviti GISBH menerusi Op Global di seluruh negara menyebabkan perkembangan harian kes berkenaan kian hangat.

Di Selangor, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan penahanan 24 individu termasuk pemimpin kanan GISBH selama empat hari iaitu hingga 28 Sept ini bagi membantu siasatan manakala permohonan bebas dengan bon jaminan terhadap 22 wanita yang dipercayai ahli kumpulan itu ditolak.

Selain itu, Jabatan Agama Islam Selangor telah mengarahkan supaya lapan sekolah pengajaran Islam persendirian yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan GISBH di negeri berkenaan ditutup.

Lapan premis tersebut adalah Sekolah Menengah (SM) Islam Global Ikhwan (Banat), Sekolah Rendah Islam (SRI) Yaqutul Fuad dan SRI Integrasi Bustanul Ikhwani di Rawang, SRI Integrasi Qurratul Ain dan Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly di Sepang; SRI Miftahul Hikmah, Klang; SM Islam Zadut Taqwa 2, Puchong dan SM Islam Zadut Taqwa 1, Shah Alam.

Di Negeri Sembilan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, agensi penguatkuasaan diarah memantau premis dan aktiviti perniagaan dikaitkan dengan GISBH yang dipercayai mula mengubah logo bagi mengelak daripada disiasat susulan beberapa laporan yang diterima.

Di Kelantan pula, empat individu berusia lingkungan 15 hingga 45 tahun yang dikaitkan dengan GISBH direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!