Scammer kaut RM6 juta sehari

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerugian akibat jenayah komersial bagi tempoh Januari hingga Ahad lalu mencecah RM1.78 bilion, peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Kerugian tersebut adalah bersamaan dengan lebih RM6.6 juta sehari selama 266 hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, secara purata sebanyak 81 kes jenayah komersial dicatatkan sehari dalam tempoh itu.

“Setakat minggu ke-38 tahun ini, sejumlah 21,441 kes jenayah komersial telah direkodkan dengan nilai kerugian keseluruhan RM1,782,164,310,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ramli berkata, secara perbandingan, jumlah kes yang direkodkan setakat ini menurun sebanyak 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 23,958 kes.

“Nilai kerugian bagaimanapun menunjukkan trend berbeza dengan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan kerugian RM1,442,942,934,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 48 peratus atau bersamaan 10,198 kertas siasatan sudah berjaya dituduh di mahkamah.

“Peratusan pertuduhan ini adalah lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 43 peratus atau bersamaan 10,224 daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka.

Artikel Berkaitan:

“Penurunan kes jenayah komersial merupakan petanda positif kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah komersial,” katanya.

Sementara itu, polis mengesan sindiket penipuan pelaburan menggunakan akaun bank yang didaftarkan atas nama syarikat dan perniagaan.

Ramli berkata, sejumlah 1,369 akaun bank milik 487 syarikat dan perniagaan dikesan telah digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket penipuan pelaburan sejak Januari hingga Isnin.

“Akaun bank atas nama syarikat dan perniagaan boleh digunakan untuk transaksi penerimaan wang secara lebih kerap serta melibatkan amaun yang lebih besar tanpa disedari oleh pihak institusi kewangan,” katanya.

Ramli berkata, siasatan turut mendedahkan, individu yang dilantik sebagai pengarah di ‘syarikat keldai’ ini kebiasaannya adalah individu yang sedang mencari pekerjaan dan mempunyai masalah kewangan.

“Individu itu pada awalnya hanya mencari pekerjaan melalui iklan jawatan kosong yang dipaparkan di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, individu itu seterusnya dihubungi oleh ejen pencari akaun keldai dan ditawarkan untuk dilantik sebagai pengarah syarikat.

“Apa yang perlu dilakukan hanyalah membuka beberapa akaun bank atas nama syarikat yang baru ditubuhkan atas nama mereka sendiri dan menyerahkan akaun tersebut kepada ejen.

“Mereka turut dijanjikan komisen secara bulanan atau sekali bayar bagi urusan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli berkata, individu yang sedang mencari pekerjaan diingatkan jangan terlibat dalam kegiatan seperti itu.

“Sentiasa berhati-hati dan bersikap skeptikal terhadap tawaran pekerjaan sebegini kerana kemungkinan besar anda menjadi pemilik akaun keldai yang merupakan satu kesalahan jenayah.

“Sentiasa berwaspada dan buat pertimbangan yang sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!