Ujian sukar buat KL City
TONGGAK pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco mengakui cabaran besar bakal dihadapi para pemain ketika melayan kunjungan pasukan dari Indonesia, Borneo FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.
Menurutnya, Borneo lebih dilihat mempunyai kelebihan selain menyifatkan skuad ibu kota itu sebagai 'underdog' mengharungi aksi kedua peringkat Kumpulan B Kejuaraan Kelab-Kelab ASEAN.
"Mereka (Borneo) mempunyai musim yang bagus di liga mereka tahun lalu. Tahun ini juga sama selain penyerang mereka berada dalam prestasi yang terbaik.
"Sebaliknya kami pula berdepan dengan beberapa masalah. Namun, kami akan lakukan apa yang selalu kami buat iaitu menampilkan persembahan terbaik.
"Ini akan menjadi ujian besar buat kami," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan.
Dalam pada itu, pemain kelahiran Australia itu juga menegaskan dia dan rakan-rakan sepasukan yang lain menyasarkan untuk mara sejauh yang boleh dalam kejohanan tersebut.
Menurutnya, rekod KL City di luar saingan domestik cukup baik dan tekad meneruskan rentak tersebut musim ini.
"Namun, kami perlu melihat minit demi minit bukan perlawanan demi perlawanan untuk memastikan sasaran kami berjaya.
"Ini adalah langkahnya bermula peringkat kumpulan dan mungkin kami boleh ke pusingan seterusnya.
"Apa yang penting adalah keluar ke padang malam esok dan berikan yang terbaik," katanya.
Pada 2022, KL City mencipta kejutan mara ke final Piala AFC sebelum terpaksa akur tewas kepada kelab dari Oman, Al-Seeb 0-3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!