Israel cipta alasan serang Lubnan

Asap berkepul menjulang ke langit selepas serangan udara Israel di perkampungan Abbasiyeh, Lubnan pada Selasa. - AFP
Asap berkepul menjulang ke langit selepas serangan udara Israel di perkampungan Abbasiyeh, Lubnan pada Selasa. - AFP
A
A
A

BEIRUT - Sepanjang tempoh 24 jam lalu, Israel telah melancarkan beberapa serangan udara di seluruh Lubnan.

Serangan itu menyebabkan ratusan orang terkorban, ramai cedera manakala ribuan penduduk mencari tempat perlindungan.

Rejim Zionis yang melabelkan serangan ini sebagai fasa baharu, telah menyerang kira-kira 1,000 sasaran di Lubnan, terutamanya kubu kuat kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

Kementerian Kesihatan Awam Lubnan berkata, Israel baru sahaja membunuh 558 penduduk Lubnan dan ia termasuk 50 kanak-kanak dan 94 wanita serta lebih 2,000 cedera.

Roket yang dilancarkan Lubnan telah dipintas sistem pertahanan Iron Dome milik Israel di wilayah Upper Galilee. - AFP
Roket yang dilancarkan Lubnan telah dipintas sistem pertahanan Iron Dome milik Israel di wilayah Upper Galilee. - AFP

Semasa serangan itu, lebih 10,000 orang telah dipaksa keluar dari rumah mereka dalam serangan paling ganas yang dialami Lubnan sejak perang saudara pada tahun 1975 hingga 1990.

Serangan pertama Israel ke atas Lubnan dilaporkan pada hari Isnin jam 6.30 pagi (waktu tempatan) yang melanda kawasan tidak berpenghuni berhampiran Byblos, utara Beirut.

Pemetaan satelit yang diteliti Al Jazeera menunjukkan serangan berlaku di seluruh Lubnan dan sasaran paling banyak adalah di sekitar Lembah Bekaa di mana ia dianggap kubu kuat Hizbullah.

Artikel Berkaitan:

Sebelum serangan berlaku, Israel telah membuat 80,000 panggilan kepada rakyat di selatan Lubnan supaya mereka mengosongkan rumah dan mencari tempat perlindungan selamat.

Mengapa Israel menyerang Lubnan

Orang ramai mengambil bahagian yang menyokong kumpulan Hizbullah di Madison Square Park di New York. - AFP
Orang ramai mengambil bahagian yang menyokong kumpulan Hizbullah di Madison Square Park di New York. - AFP

Israel berkata mereka menyerang Lubnan dengan alasan ia boleh membawa pulang rakyatnya yang terkandas di bahagian utara negara itu.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengumumkan penempatan semula 'kuasa, sumber dan tenaga' ke arah utara ketika konflik dengan Hizbullah memasuki fasa baharu.

Menurut Gallant, langkah itu sebahagian daripada usaha untuk mengembalikan kira-kira 65,000 warga Israel yang terlibat proses pemindahan semasa awal konflik dengan menjangkakan serangan Hizbullah ke atas rumah mereka berhampiran sempadan Lubnan.

Serangan besar-besaran Hizbullah itu tidak pernah berlaku tetapi Israel dan kumpulan pejuang Islam itu telah berbalas tembakan di sempadan selatan Lubnan sejak Oktober 2023.

Hizbullah telah berjanji untuk meneruskan serangannya sehingga Israel mencapai perjanjian gencatan senjata dengan sekutu kumpulan itu, Hamas di Gaza.

Adakah ia berkaitan dengan letupan alat kelui dan walkie-talkie

Pada 17 September lalu, ratusan alat kelui milik anggota Hizbullah telah diletupkan dalam serangan didalangi Israel. Bagaimanapun, rejim Zionis enggan mengulas serangan itu.

Keesokan harinya, gelombang kedua letupan walkie-talkie telah membunuh sejumlah 37 orang, termasuk dua kanak-kanak dan mencederakan ribuan orang awam.

Sejak itu, konflik semakin tegang apabila kedua-dua pihak saling berbalas tembakan di selatan Beirut yang mengorbankan 45 orang dan ratusan cedera. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!