Misi belum selesai

Nur Izzuddin (kiri) dan Sze Fei akan menyertai kejohanan di Eropah bulan depan. Foto Agensi
Nur Izzuddin (kiri) dan Sze Fei akan menyertai kejohanan di Eropah bulan depan. Foto Agensi
A
A
A

KEJAYAAN mengungguli kejohanan Super 1000 Terbuka China tidak seharusnya membuatkan beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berasa selesa kerana perjuangan mereka masih panjang.

Ketua jurulatih beregu profesional, Rosman Razak juga enggan anak buahnya itu cepat berpuas hati dengan kejuaraan tersebut, sebaliknya mahu mereka fokus dengan kejohanan mendatang.

"Setiap kali (kejayaan) pemain tidak harus cepat berpuas hati. Setiap kejohanan adalah berbeza. Kami akan menjalani persiapan untuk kejohanan Eropah di Finland dan Denmark.

"Kami harus lupakan Terbuka China dan fokus untuk kejohanan seterusnya," katanya.

Nur Izzudin-Sze Fei melakar sejarah apabila menjadi beregu kedua negara mengungguli Terbuka China selepas kali terakhir dilakukan pasangan adik beradik, Datuk Seri Jalani dan Datuk Razif Sidek pada 1989.

Kejayaan Nur Izzuddin-Sze Fei itu diraih selepas mereka membenam cabarangan gandingan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 13-21, 21-12, 21-17 pada Ahad.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Rosman memuji corak permainan mereka yang memperagakan aksi yang baik sepanjang kempen di Changzhou itu.

"Angin di gelanggang memainkan peranan penting pada Terbuka China. Kekuatan angin sentiasa berubah. Dalam aksi separuh akhir dan final, penganjur telah menutup laluan angin jadi corak permainan dan taktikal berubah.

Artikel Berkaitan:

"Di atas kertas, rekod pertemuan kami tidak begitu baik tetapi saya memang sudah jangkakan sengit," katanya.

Sze Fei-Nu Izzuddin yang kini menghuni ranking kelapan dunia dijadual 'terbang' ke Eropah untuk menyertai Terbuka Artik yang berstatus Super 500 di Finland bermula 8 hingga 13 Oktober dan disusuli Terbuka Denmark (Super 750) dari 15 hingga 20 Oktober.

Susulan kejayaan tersebut, pasangan negara mendaki empat anak tangga dari nombor ke-12 ke tempat kelapan dunia, manakala dalam senarai Jelajah Dunia Akhir (WTF) di kedudukan ketujuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!