Roh, jiwa raga perlu merasai bahana amalan rasuah

Warga MRSM PDRM Kulim yang menjayakan Jelajah Antirasuah pada Selasa bergambar kenangan.
Warga MRSM PDRM Kulim yang menjayakan Jelajah Antirasuah pada Selasa bergambar kenangan.
A
A
A

KULIM - Kesedaran terhadap kesan amalan rasuah bukan sekadar mahu mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan, sebaliknya kepentingan perjuangan sewajarnya ke arah menyelamatkan kerosakan rakyat dan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin menegaskan, pendedahan diberi bukan setakat peringatan sahaja, namun roh dan jiwa raga perlu merasai bahana amalan rasuah yang berlaku dalam kehidupan masyarakat.

Menurutnya, doktrn inilah yang sewajarnya ditanam dalam pemikiran remaja khususnya pelajar, bahawa betapa jijiknya rasuah dan sudah tentu banyak alternatif boleh dilakukan bagi mengelak terjerumus ke arah gejala itu.

“Jelajah Antirasuah yang kita bawakan bertujuan mengukuhkan diri untuk perjuangan atau peranan yang lebih besar sekali gus memberi kesan kepada negara pada masa akan datang.

“Pembinaan karakter sebagai paksi seorang insan, pelajar, rakyat, dan hamba Tuhan, dengan harapan dapat memberi kesedaran di peringkat paling awal selain menarik minat pelajar untuk memahami kepentingan mencegah rasuah bermula dengan nilai integriti yang dipasakkan,” katanya.

Beliau demikian ketika Jelajah Antirasuah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) PDRM Kulim di sini pada Selasa.

Persediaan untuk pelajar

Sementara itu, Timbalan Ketua Unit Integriti Mara, Ahmad Sofi Abdullah berkata, harapan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dari segi pembudayaan integriti akan dilaksanakan secara berterusan, bukan sahaja dalam kalangan kakitangan yang berjumlah 11,400 orang, malah turut membabitkan warga MRSM dan seluruh masyarakat.

Artikel Berkaitan:

AHMAD SOFI
AHMAD SOFI

Katanya, pendedahan tersebut relevan kerana pelajar MRSM akan melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan dan kerjaya pada masa depan.

“Insya-ALLAH kita tidak berputus asa dan akan secara berterusan mendidik masyarakat (tentang rasuah) selagi mana ada kekuatan.

“Bagi pelajar pula, mereka sudah tahu apa itu rasuah dari awal, sekurang-kurangnya ada pengetahuan apabila masuk universiti dan alam pekerjaan, jadi mereka boleh lebih bersedia,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, kolaborasi antara Mara dan #RasuahBusters yang bermula pada 2020 akan berterusan memandangkan fungsi masing-masing saling melengkapi, selain mempunyai kepakaran tersendiri.

Pengetua MRSM PDRM Kulim, Abu Zaki Ahmad Affandi pula berkata, seramai 645 pelajar dan 92 guru serta kakitangan terlibat dalam program Jelajah Antirasuah yang dijalankan serentak namun di dewan berasingan.

ABU ZAKI
ABU ZAKI

“Pendidikan mesti bermula dari awal dan apa yang disampaikan pihak penganjur sangat bersesuaian. Melalui ini kita juga ingin melatih pelajar dari Tingkatan Satu contohnya supaya mereka faham apa itu rasuah dan mempunyai peranan untuk terlibat secara langsung.

“Melalui pengetahuan dan kesedaran yang diterapkan, saya berharap warga MRSM PDRM tahu apa itu rasuah dan mampu menyumbang kepada program antirasuah sekali gus tidak akan terlibat dengan rasuah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!