'Kes GISBH umpama loceng amaran'
SHAH ALAM - Pihak autoriti agama Islam perlu bersikap proaktif untuk mengesan sekali gus membanteras gerakan dan ajaran sesat yang sedang aktif di negara ini.
Timbalan Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at Malaysia (Murshid), Amin Idris berkata, kes melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) seharusnya menjadi 'wake up call' atau loceng amaran kepada pihak bertanggungjawab bahawa wujud gerakan ajaran sesat yang terancang dan berleluasa.
“Bagaimana mereka boleh bergerak bebas selama bertahun-tahun adalah muhasabah kepada autoriti agama dan kita tidak boleh menafikan usaha mereka selama ini.
“Gerakan ajaran sesat seperti Sihulk, Ahmadi, tarikat-tarikat yang sesat dan sebagainya sedang aktif terutama di TikTok untuk menyesatkan ummah di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menegaskan, kerajaan mengambil serius perkara yang menyentuh pegangan akidah dan syariat umat Islam di Malaysia.
Dalam pada itu, Amin yang juga penceramah bebas berharap agar tiada tindakan ‘dua darjat’ terutama apabila ajaran sesat itu kelihatan mirip dengan aliran pegangan segelintir masyarakat.
Ia berdasarkan pengalamannya yang pernah dijemput berdialog secara tertutup oleh sekumpulan antihadis pada suatu masa dahulu.
“Saya juga pernah dijemput makan malam bersama Abuya (pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad) ketika menjadi pemimpin pelajar pada tahun 2000.
“Saya menyaksikan sendiri ketaasuban pengikutnya yang minum air basuhan tangan Abuya.
“Jadi siasatan terhadap pesalah nanti perlulah telus dan tidak melibatkan sentimen politik dalam membuat keputusan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!