Cerita Sebelum Bercerai ketengahkan isu alam perkahwinan

Buku Cerita Sebelum Bercerai boleh didapati di Jualan Gudang Karangkraf 2024 yang akan berlangsung dari 27 September hingga 6 Oktober ini. (Gambar kecil: Rosmawati)
Buku Cerita Sebelum Bercerai boleh didapati di Jualan Gudang Karangkraf 2024 yang akan berlangsung dari 27 September hingga 6 Oktober ini. (Gambar kecil: Rosmawati)
A
A
A

SHAH ALAM - Grup Buku Karangkraf tampil dengan buku terjemahan terbaharu berjudul Cerita Sebelum Bercerai hasil nukilan penulis Indonesia, Fahd Pahdepie.

Editornya, Rosmawati Ahmad berkata, Cerita Sebelum Bercerai yang disampaikan secara story telling itu berkisar tentang refleksi perkahwinan antara suami dan isteri dengan memfokuskan isu-isu yang jarang disentuh, namun penting bagi setiap pasangan tahu bagaimana untuk menanganinya.

Menurutnya, perkongsian yang diselitkan dalam karya tersebut mengingatkan bahawa perceraian sepatutnya menjadi pilihan terakhir selepas semua usaha untuk memperbaiki hubungan telah dilakukan oleh kedua-dua pihak.

“Mereka perlu memastikan rumah tangga berjaya kerana tiada perkahwinan yang sempurna, sebaliknya suami isteri kena berusaha untuk mencapai tujuan perkahwinan yang diinginkan.

“Pernikahan memerlukan komitmen, pengertian, dan cinta yang terus berkembang meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

“Justeru, buku ini amat relevan buat pasangan suami isteri sama ada yang sedang melalui fasa sukar atau ingin memperkuatkan ikatan cinta mereka,” katanya pada Rabu.

Cerita Sebelum Bercerai merupakan karya penulis dari seberang, Fahd Pahdepie.
Cerita Sebelum Bercerai merupakan karya penulis dari seberang, Fahd Pahdepie.

Ditanya mengenai alasan memilih karya penulis dari negara seberang, Rosmawati memaklumkan, isi kandungannya relevan dengan situasi dihadapi kebanyakan pasangan di negara ini, selain terdapat bait-bait perkataan yang amat menyentuh jiwa.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pasangan sudah berkahwin pasti lebih mudah untuk memahami isu yang diketengahkan kerana buku tersebut turut menerapkan konsep ‘membaca dengan jiwa’ disebabkan lenggok bahasanya.

“Justeru, orang ramai boleh mendapatkan buku ini di Jualan Gudang Karangkraf 2024 yang akan berlangsung dari 27 September hingga 6 Oktober ini.

“Buku ini dijual pada harga RM30 dan kami juga akan beri potongan harga istimewa buat pembeli bertuah.

"Boleh juga dapatkan di laman sesawang Karangkraf Mall atau layari media sosial kami untuk maklumat lanjut,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!