e-Invois tangani ekonomi gelap
SHAH ALAM - Pelaksanaan sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilihat berjaya mengurangkan aktiviti perniagaan yang berselindung dalam ekonomi gelap atau grey economy.
Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sebelum ini anggaran antara 20 ke 30 peratus berlaku aktiviti sedemikian iaitu urusan perniagaan yang tidak berdaftar secara sah dan tidak membayar cukai.
“Kini dengan sistem e-Invois, pastinya ia akan mengurangkan aktiviti perniagaan yang berselindung dalam ekonomi gelap tersebut, terutamanya dalam percubaan mengurangkan malah mengelakkan cukai.
“Dengan teknologi semasa, maka ia boleh membantu meningkatkan pendapatan negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Aimi Zulhazmi, pelaksanaan e-Invois memudahkan daripada aspek perakaunan peniaga kerana sistem yang disediakan oleh LHDN mempercepatkan proses dengan lebih efisien.
Malah katanya, masalah menguruskan operasi perakaunan yang dulunya mengambil masa kini diambil alih oleh sistem berkenaan yang cukup telus antara pembayar cukai dan LHDN.
“Penggunaan teknologi terutamanya AI (kecerdasan buatan) sudah dimulakan dengan pelaksanaan e-Invois, sekali gus dapat mengurangkan tenaga pekerja dibahagikan kewangan dan syarikat-syarikat boleh menyusun semula guna tenaga para pekerja mereka,” jelasnya.
Bermula 1 Ogos lalu, LHDN melaksanakan penggunaan e-Invois secara berperingkat, iaitu transaksi digital antara penjual dan pembeli.
Ia dimulakan dengan pembayar cukai yang berpendapatan atau mencapai jualan tahunan melebihi RM100 juta, sebelum dipanjangkan kepada syarikat-syarikat berpendapatan RM100 juta dan ke bawah pada 1 Januari 2025 dan 1 Julai 2025.
Melalui pelaksanaan ini, peniaga boleh terus menggunakan sistem invois sedia ada seperti biasa tetapi bagi tujuan pematuhan cukai, ia wajib dilaksanakan, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Sehingga kini, lebih 34 juta e-Invois telah diterima LHDN daripada pembayar cukai sejak sistem itu mula dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!