Dilema lepasan pondok ceburi sektor pekerjaan

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Ahmad Syihaam, Muhammad Sufi, Hasnida)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Ahmad Syihaam, Muhammad Sufi, Hasnida)
A
A
A

RUANGAN Apa Khabar Rakyat kali ini menyingkap masalah dihadapi pelajar tahfiz berkait persaingan alam pekerjaan disebabkan ketiadaan sijil akademik seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Walaupun pakar dalam hal agama kerana mendalami al-Quran, namun ketetapan majikan yang mementingkan kelayakan akademik menyebabkan mereka sukar menempatkan diri dalam dunia pekerjaan moden hari ini.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NORAFIZA JAAFAR menyelami suara hati golongan muda ini mencari pekerjaan.

Pelajar sekolah pondok kurang dipandang segelintir masyarakat kerana kebanyakan mereka tidak mengikuti pendidikan arus perdana dan atau tiada kelulusan.

Ketiadaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyebabkan pelajar pondok, tahfiz dan madrasah mempunyai peluang terhad dalam sektor pekerjaan dalam kerajaan atau swasta.

Kesannya, kebanyakan mereka hanya menjadi tenaga pengajar di sekolah agama, bekerja sendiri atau menjadi guru kelas mengaji.

Perkara itu dialami lepasan Madrasah Tahfiz Al-Quran Janda Baik, Ubaidullah Rusli, 26, yang mengaku mengikuti pendidikan arus perdana hingga darjah lima sebelum menumpukan pengajian al-Quran sehingga berusia 17 tahun.

Artikel Berkaitan:

Ubaidullah menerima Anugerah Hafaz Terbaik anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.
Ubaidullah menerima Anugerah Hafaz Terbaik anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

“Saya tak ambil pendidikan arus perdana dan hanya diajar emak dan kakak. Masa kecil memang tak rasa kesannya kerana ketika itu hanya fikir mahu belajar al-Quran.

“Apabila dewasa ada juga terasa sedikit kesannya kerana perlu bekerja lebih keras untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, dengan kelebihan yang ada, dia menjadi tenaga pengajar di pusat tahfiz sejak tiga tahun lalu dan memperoleh pendapatan sekitar RM1,700 sebulan.

“Ada juga ditawarkan kerja lain tapi sebagai operator kilang sahaja.

“Untuk menambah pendapatan, saya buat kerja sampingan sebagai penghantar makanan selain mengajar mengaji, hasilnya boleh mencecah RM2,500 sebulan,” katanya.

Ubaidullah berharap, pelajar lepasan tahfiz sepertinya diberi peluang sama rata dalam sektor pekerjaan dengan tidak hanya memandang kepada SPM semata-mata.

“Saya sarankan adik saya untuk mengambil Sijil Darul Quran yang diterima pakai untuk memasuki pekerjaan dalam sektor kerajaan.

“Mungkin kerajaan boleh mewajibkan semua pelajar tahfiz mengambil sijil ini sebagai usaha memperkukuh peluang pekerjaan kepada lepasan tahfiz kelak,” katanya.

Sementara itu, seorang bekas pelajar pondok, Ahmad Syihaam Ahmad Rafizi, 19, berkata sistem sekolah agama sebenarnya adalah baik kerana memfokuskan kepada adab dan akhlak bagi membina manusia berguna.

Ahmad Syihaam berkata, kerajaan diharap dapat memartabatkan sekolah agama seiring dengan pekerjaan sektor profesional lain seperti doktor dan saintis.

“Orang belajar agama perlu ada tempat dalam masyarakat supaya dapat memberi sumbangan kepada anak bangsa.

“Pada masa sama, saya sarankan anak tahfiz ini mempunyai kesedaran mengambil SPM atau sijil kemahiran bersesuaian supaya seiring pelajar sekolah arus perdana lain.

“Langkah memperkenal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) kepada pelajar tahfiz dilihat usaha positif bertepatan permintaan sektor pekerjaan dan keperluan tenaga pakar dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pelajar tahfiz, Muhammad Sufi Mohd Sharifuddin, 20, mengakui mengambil SPM sedikit lewat berbanding rakan sebaya lain disebabkan menumpukan pengajian al-Quran terlebih dahulu.

“Saya dulu belajar di sekolah aliran Cina tapi disebabkan keputusan akademik kurang memberangsangkan, saya mengambil keputusan memfokuskan kepada pengajian tahfiz dari usia 13 hingga 17 tahun.

“Saya kemudian ambil inisiatif sendiri duduki SPM demi jaminan masa depan kerana keperluan kerja sekarang menetapkan sekurang-kurangnya ada sijil tersebut,” kongsinya.

Muhammad Sufi berkata, dia akan meneruskan pengajian peringkat ijazah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Syariah Industri Halal pada awal bulan depan.

Jelas anak sulung daripada tiga beradik ini, kerajaan dicadangkan menyediakan program membantu lepasan tahfiz mengambil SPM atau sijil kemahiran bersesuaian.

“Kebanyakan pelajar tahfiz tanpa SPM akan menjadi tenaga pengajar di pusat tahfiz sahaja, kariernya tidak berkembang.

“Mungkin mereka boleh diberikan kelonggaran mendapatkan sijil kemahiran dalam bidang automatif atau TVET.

“Bukan pelajaran atau sijil tak perlu tapi ia hanya sekadar kelayakan sedangkan pengalaman juga penting,” katanya.

Wujud lebih banyak SMA dalam sistem pendidikan arus perdana

Kerajaan perlu memperbanyak Sekolah Menengah Agama (SMA) susulan kesedaran ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah aliran itu semakin meningkat.

Tenaga pengajar, Hasnida Hassan, 53, melihat sistem pendidikan berlandaskan agama itu mampu melahirkan ramai pelajar berjaya yang kini menceburi bidang profesional seperti pensyarah dan peguam.

Hasnida yang juga merupakan bekas pelajar aliran agama turut berhasrat menghantar semua anaknya ke sekolah agama selepas melihat kejayaan lepasan pelajar aliran agama.

“Saya cuba masukkan tiga anak ke sekolah aliran agama, namun tidak melepasi had kelayakan akademik selain persaingan disebabkan banyak permintaan.

“Anak keempat juga cuba ditempatkan ke sekolah sama tapi permohonan turut tidak berjaya menyebabkan saya menghantarnya ke maahad tahfiz swasta dan mendaftar SPM secara berasingan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” katanya.

Katanya, walaupun berminat dengan aliran agama, namun kurang bersetuju sekiranya ibu bapa menghantar anak mereka ke tahfiz atau sekolah pondok tidak berdaftar.

“Kerajaan perlu ambil cakna dengan sistem pendidikan dengan memastikan silibus kementerian dimasukkan dalam sekolah tahfiz.

“Pada masa sama, ibu bapa juga perlu peka dan tidak menjadikan sekolah tahfiz sebagai tempat buangan anak-anak bermasalah.

“Ibu bapa perlu memastikan sekolah dihantar adalah berdaftar dan sebaiknya dilengkapi sistem akademik diiktiraf supaya tidak menjejaskan masa depan anak-anak mereka,” katanya.

@sinarharianonline

Dilema lepasan pondok ceburi sektor pekerjaan #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Nasional #Pondok #Pekerjaan #Pendidikan #Akademik #SPM #Agama

News - AShamaluevMusic

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!