Identiti budak, bayi hanyut dikenal pasti adik beradik
KENINGAU - Identiti kanak-kanak dan bayi yang hanyut dibawa arus pada petang Selasa di Kampung Dalit, Sook, di sini, telah dikenal pasti sebagai adik beradik.
Mangsa, Tipah Ashrul berusia dua tahun manakala adiknya, Fadlie berusia dua bulan sehingga kini belum ditemui dan operasi SAR memasuki hari ketiga pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, pencarian diteruskan di lokasi kejadian susulan kejadian tujuh individu hanyut dibawa arus ketika banjir di kediaman mereka pada petang Selasa.
"Lima mangsa terselamat dalam kejadian itu manakala dua lagi masih hilang iaitu kanak-kanak masing-masing berusia dua tahun dan dua bulan di mana kedua-duanya adalah adik beradik.
"Operasi SAR dimulakan seawal jam 5.40 pagi di mana perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa selama empat jam.
"Operasi hari ini akan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar lokasi mangsa hilang dan dijangka radius satu kilometer," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurutnya, operasi pencarian turut mendapat bantuan daripada unit K9 dengan menggunakan dua ekor anjing pengesan bersama bantuan daripada BBP Keningau dan agensi lain serta orang awam.
"Bagaimanapun, lokasi kejadian tiada talian telefon dan liputan Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) untuk menyalurkan maklumat dengan cepat.
"Jadi, maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Sebelum itu, Bilik Kawalan BBP Sook menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu yang terkena banjir pada jam 5 petang Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!