Ringgit susut kepada 4.13 pada sesi pembukaan

Ringgit diniagakan pada 4.1305/1375 berbanding dolar AS selepas meningkat kepada 4.1275/1310 semalam
Ringgit diniagakan pada 4.1305/1375 berbanding dolar AS selepas meningkat kepada 4.1275/1310 semalam
A
A
A

RINGGIT susut berbanding dolar AS pada Khamis, berhenti seketika daripada kenaikan baru-baru ini berikutan pelabur mengambil keuntungan selepas peningkatan nilainya yang ketara, kata ahli ekonomi.

Pada jam 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1305/1375 berbanding dolar AS selepas meningkat kepada 4.1275/1310 semalam.

Dari aspek teknikal, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan telah dibeli secara berlebihan untuk suatu tempoh.

"Kami melihat terdapat aktiviti pengambilan untung berikutan peniaga mungkin ingin mengambil keuntungan berdasarkan peningkatan nilai ringgit yang ketara,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, pelabur turut memantau perkembangan ekonomi China.

Beliau berkata, negara tersebut menjadi tumpuan berikutan pihak berkuasa monetarinya telah memperkenalkan langkah-langkah untuk mengurangkan kos pinjaman, menambah kecairan dan menggiatkan semula pasaran perumahan.

"Walaupun masih belum dapat dilihat sejauh mana keberkesanan langkah-langkah ini dalam meningkatkan pertumbuhan, skala besar pelaksanaannya mencerminkan kesediaan dan keazaman pihak berkuasa untuk memulihkan pertumbuhan kepada paras lima peratus.

"Ini akan memberi impak positif kepada ringgit berdasarkan China adalah rakan dagang utama dan pihak berkuasa negara itu menunjukkan kemampuan dalam menyokong pertumbuhan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringgit mencatatkan prestasi yang baik berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun apabila naik kepada 2.8573/8625 daripada 2.8625/8652, meningkat berbanding pound kepada 5.5022/5116 daripada 5.5189/5236 dan menambah berbanding euro kepada 4.5985/6063 daripada 4.6158/6197 pada Rabu.

Ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2039/2096 daripada 3.2121/2150 dan meningkat kepada 12.6045/6340 daripada 12.6158/6353 berbanding baht Thailand.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding peso Filipina kepada 7.39/7.41 daripada 7.38/7.39 dan dibuka rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 273.5/274.0 daripada 273.3/273.6. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!