Tiada keperluan perkenal peraturan luar undang-undang - Tun M
SHAH ALAM - Tiada keperluan memperkenalkan peraturan di luar undang-undang bagi menstabilkan dan memajukan negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk kerajaan, undang-undang tersebut mula diperkenalkan.
Menurutnya, Malaysia pernah menghadapi rusuhan kaum dan ekstremis agama, namun ia diselesaikan melalui Perlembagaan Negara atau undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat serta Dewan Negara.
“Malaysia (Malaya) telah merdeka 68 tahun. Perlembagaan Negara dan undang-undang memadai untuk negara menjadi stabil serta maju.
“Dengan 3R (agama, raja, kaum) mulut rakyat ditutup. Ia bertentangan dengan demokrasi dan Perlembagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Selain itu, Dr Mahathir atau lebih mesra dengan panggilan Tun M menganggap syarat untuk mendapat peruntukan wang bagi kawasan pembangkang dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) adalah rasuah.
Ujarnya, duit kerajaan bukan milik parti kerajaan, namun ia adalah milik rakyat.
“Peruntukan duit kepada wakil rakyat sepatutnya sama antara wakil parti kerajaan dengan parti pembangkang.
“Kerajaan dahulu bagi RM400 juta kepada Kelantan, RM200 juta kepada Terengganu dan Kedah tanpa syarat walaupun negeri-negeri ini adalah parti parti bukan Kerajaan Pusat. Nak beli Mercedes pun tidak disoal,” jelasnya.
Tun M berkata, sekarang ditambah secara perundangan luar peraturan yang kononnya bertujuan menstabilkan negara.
Tambahnya, wakil rakyat juga tidak dapat menyentuh 3R di dalam dewan.
“Walaupun konon MoU bertujuan menghapus kebencian dan perkauman oleh wakil rakyat di Parlimen tetapi yang jelas ialah kerajaan akan tafsir sesuatu ucapan itu berbau rasis atau kebencian atau tidak.
“Speaker juga boleh larang wakil rakyat pembangkang, mereka tidak dapat pertahan ucapan mereka,” katanya.
Beliau berpendapat, 3R dan MoU bertujuan untuk menutup mulut rakyat serta wakil mereka.
Menurutnya, ini kerana kerajaan boleh melakukan kezaliman dengan sewenang-wenangnya.
“Curi duit kerajaan pun boleh, tipu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pun okay. Inilah yang boleh dilakukan kerajaan jika MoU ditandatangani oleh wakil rakyat pembangkang.
“Tolak MoU dan tolak 3R. Pertahan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Kembali dan hormati Perlembagaan Malaysia. Henti extra judicial peraturan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!