Ramai pengundi bekerja di Singapura tidak tahu ada PRK Mahkota
KLUANG - Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mendakwa masih ramai pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bekerja di Singapura masih tidak maklum mengenai pilihan raya kecil (PRK) meskipun berbaki dua hari sebelum hari mengundi pada Sabtu.
Menurutnya, ini kerana perkembangan yang berlaku di Malaysia tidak akan dipaparkan di media sosial pengguna yang kurang membaca berita mengenai negara ini.
"Masih ramai yang bekerja di Singapura tak tahu langsung ada PRK. Kenapa? Salah siapa? Mereka buka Facebook pun tak dapat berita PRK.
"Kerana algorithm Facebook tentukan mereka yang ada di Singapura, tak baca berita Malaysia, (jadi) tak tahu ada PRK," katanya ketika berucap pada Ceramah Berkelompok Perpaduan di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat membantu menyampaikan maklumat mengenai PRK Mahkota kepada ahli keluarga dan kenalan terdekat yang bekerja di Singapura untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
"Tanpa bantuan tuan-tuan dan puan-puan untuk sebar mesej ini, mereka tak akan balik (mengundi).
"Sebenarnya mereka mahu balik kalau ringgit kita semakin kuat. Akan ada satu hari nanti mereka balik (terus) ke Malaysia dan kita nak anak-anak kita balik ke Malaysia dan ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang cukup lumayan," katanya.
Dalam ucapan sama, beliau menegaskan PRK Mahkota bukan semata-mata proses untuk memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, tetapi juga demi undi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"PRK ini bukan hanya untuk pilih seorang ADUN, tapi pelabur sedang memantau PRK ini dan mereka nak lihat bolehkah calon Kerajaan Perpaduan menang (isyarat politik dan kerajaan stabil) kalau mereka melabur berbilion ringgit," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, jenteranya bersama jentera Perpaduan sedang giat berusaha meraih undi pengundi Cina di DUN Mahkota dengan menghantar mesej dan menyakitkan pengundi bahawa Syed Hussien adalah calon yang terbaik untuk pimpin rakyat di kawasan tersebut.
"Kita akan fokus kepada kesesuaian calon kita (Syed Hussien) untuk mewakili pengundi di sini (Mahkota).
"Kami akan berusaha untuk menyampaikan mesej kepada pengundi Cina khususnya, bagaimana beliau (Syed Hussien) akan berkhidmat dengan baik kepada pengundi. Tak kira kaum dan bangsa di Mahkota ini," katanya.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Ia menyaksikan pertembungan Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang, dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang merupakan bekas pemain bola sepak Johor.
Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!