Terengganu hantar 150 sukarelawan bantu mangsa banjir di Kedah

Pas Terengganu menerusi badan Khidmat Malaysia akan menghantar 150 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Kedah. Foto hiasan
Pas Terengganu menerusi badan Khidmat Malaysia akan menghantar 150 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Kedah. Foto hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) akan menghantar 150 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Kedah.

Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata, ia juga termasuk sumbangan kewangan sebanyak RM50,000 kepada Pas Kedah bagi melancarkan proses bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat.

"Kesemua sukarelawan itu dijadualkan berbakti selama tiga hari iaitu di kawasan Pokok Sena yang paling terjejas akibat banjir bermula hari ini.

"Bantuan tenaga kerja amat diperlukan bagi membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas selain menyampaikan sumbangan keperluan asas.

"Mereka (sukarelawan) akan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk membersihkan rumah dan membaiki kembali rumah yang rosak akibat bencana tersebut," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, pihaknya akan menyalurkan barang keperluan asas seperti toto, selimut dan bantal bernilai RM16,000 bagi keperluan mangsa banjir.

"Ini merupakan hasrat Terengganu bagi mengurangkan bebanan kerajaan negeri yang terlibat dalam mendepani musibah banjir yang tidak dijangka itu.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Banjir di Kedah semakin pulih apabila hanya 1,885 mangsa daripada 593 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini, berbanding 2,366 orang daripada 736 keluarga malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa terlibat ditempatkan di 18 PPS di tiga daerah iaitu Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!