Kuasa Veto lumpuhkan peranan UNSC hentikan serangan Israel - Presiden Maldives

Mohamed Muizzu - Foto: UN
Mohamed Muizzu - Foto: UN
A
A
A

NEW DELHI - Maldives pada Rabu menyeru pemansuhan kuasa veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terdiri daripada 15 anggota, dengan menyifatkannya menghalang badan dunia itu daripada mengambil tindakan terhadap Israel.

"Kuasa veto terus melumpuhkan Majlis daripada menghentikan perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin.

"Kuasa veto membenarkan Israel bertindak sewenang-wenangnya, melaksanakan penjajahan yang kejam dan membahayakan keselamatan serantau.

Kuasa veto terus membenarkan pembunuhan beramai-ramai orang yang tidak berdosa,” kata Presiden Maldives, Mohamed Muizzu semasa perbahasan peringkat tinggi di Majlis Keselamatan mengenai topik "Leadership for Peace."

Acara itu dianjurkan oleh Slovenia, yang memegang jawatan presiden Majlis Keselamatan untuk September, ketika pemimpin dunia berhimpun di New York bagi menghadiri mesyuarat tahunan Perhimpunan Agung PBB.

Ini adalah kali pertama seorang presiden Maldives berucap di Majlis Keselamatan sejak negara itu menyertai PBB 59 tahun lalu.

Muizzu menggunakan peluang itu untuk mengutarakan kebimbangan yang dikongsi oleh majoriti masyarakat dunia.

Struktur Majlis Keselamatan kekal tidak berubah sejak ia ditubuhkan pada 1946 dan memberikan kuasa veto kepada anggota tetapnya iaitu Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Terdapat seruan yang semakin meningkat untuk menamatkan sistem veto, yang sering dipersalahkan atas kegagalan Majlis dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Ketidakpercayaan global terhadap sistem pelbagai hala terus meningkat. Dan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakberkesanan dan kegagalan Majlis untuk bertindak.

"Kita bersidang di sini hari ini sementara genosid berlaku di hadapan Majlis Keselamatan yang tidak mahu menegakkan undang-undang antarabangsa dan menghentikannya,” kata Muizzu.

Presiden Maldives itu menyatakan bahawa perbincangan mengenai reformasi Majlis Keselamatan PBB yang tidak menghasilkan sebarang keputusan selama lebih 15 tahun perlu dihentikan, dan usaha untuk memulakannya harus dilaksanakan semula.

Beliau turut menggesa Majlis untuk menangani implikasi ancaman keselamatan bukan tradisional.

"Seperti yang kita saksikan di Lubnan beberapa hari lalu, teknologi telah berkembang sehingga tahap peranti komunikasi di dalam poket kita boleh diletupkan secara jauh, kini menjadi satu realiti,” katanya, merujuk kepada insiden letupan peranti komunikasi yang dicetuskan oleh Israel bulan ini hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 37 rakyat Lubnan dan mencederakan ribuan yang lain. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!