'Hanya sempat selamatkan dokumen penting, kelengkapan sekolah anak'
SHAH ALAM - Mangsa banjir di Kampung Bukit Lanchong di sini, mengakui hanya sempat menyelamatkan dokumen penting, pakaian serta buku sekolah anak ketika dilanda banjir pada Rabu.
Mangsa banjir, Yusmaria Mahusin, 46, berkata, kejadian sekitar jam 4 petang itu berlaku susulan hujan lebat melanda kampung itu selama kira-kira dua jam bermula sejak tengah hari.
“Tak sempat nak angkat apa-apa, yang dapat dokumen, baju sekolah. Yang penting kelengkapan sekolah macam buku, beg, kasut dapat diselamatkan dahulu,“ katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Kejadian banjir itu menyebabkan Yusmaria ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Camelia, Putera Heights bersama 116 lagi mangsa banjir dari kawasan berkenaan.
Yusmaria yang mempunyai empat anak berusia antara tujuh hingga 17 tahun berkata, dia bersyukur kejadian banjir kali ini tidak seburuk berbanding tiga tahun lepas.
“Masa itu (banjir 2021), air naik mendadak, tak sempat nak capai apa-apa, jadi kami tinggal sehelai sepinggang,“ katanya yang turut dibantu ahli keluarga lain mengemas rumah.
Rafidah Hasan, 45, pula mengakui air yang meningkat terlalu cepat membuatkan dia dan suami tidak sempat mencapai apa-apa selain dokumen penting dan buku sekolah anak.
Rafidah berkata, dia dan anak-anak serta suami, Kaswadi Yaacob, 46, bagaimanapun sempat mengalihkan peralatan elektrik ke tempat tinggi.
“Alhamdulillah, tak teruk berbanding dulu tetapi sebab air naik mendadak, kami hanya menyelamatkan dokumen penting dan buku sekolah anak,“ katanya yang bekerja di Seksyen 27.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Suhaimi Jumaat, 42, berkata, mereka enam beranak berpindah ke PPS Dewan Camelia kira-kira jam 9.30 malam.
"Kami hanya bawa pakaian untuk dipakai sahaja, barang lain kami letakkan di tempat selamat dan berharap ia tidak rosak akibat banjir yang melanda," katanya.
Tambahnya, mereka mengambil keputusan untuk menunggu air surut sebelum berpindah ke PPS namun sehingga malam tadi air tidak surut dan memutuskan untuk segera berpindah.
Setakat 11.30 pagi pada Khamis, seramai 117 mangsa banjir dari Kampung Bukit Lanchong telah dipindahkan ke PPS Dewan Camelia bagi kawasan Subang Jaya.
Seramai 145 mangsa banjir turut dilaporkan dipindahkan ke PPS Masjid An-Naim dan 39 mangsa banjir di PPS Balai MPKK Jalan Kebun bagi daerah Klang.
Pada Rabu, beberapa kawasan rendah di sekitar Jalan Kebun dan Kota Kemuning di Klang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan sehingga petang semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!