Guru GISBH tekan dada guna lutut, rotan tiga murid dijel 10 tahun

Tertuduh (kiri) dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Noridah Adam pada Khamis. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Tertuduh (kiri) dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Noridah Adam pada Khamis. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang guru menekan dada murid menggunakan lutut dan merotan tiga kanak-kanak di sebuah pusat pendidikan dan kebajikan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun.

Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, yang memakai baju T berwarna merah dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Noridah Adam.

“Saya mengaku bersalah puan,” katanya dalam nada perlahan sambil menundukkan kepala.

Semasa menjatuhi hukuman, Noridah memerintahkan warden asrama di pusat kebajikan dan pendidikan GISBH ini menjalani hukuman bermula tarikh tangkap 11 September lalu.

“Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia dikenakan hukuman penjara masing-masing dua tahun manakala baki dua lagi kes, masing-masing selama tiga tahun.

“Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh tangkap,” kata hakim.

Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dan cagaran berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sekiranya gagal, mahkamah memerintahkan dia dikenakan penjara tambahan selama enam bulan bagi setiap kes.

Artikel Berkaitan:

Mengikut tiga pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun telah menganiaya dengan merotan semua mangsa yang mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Bagi pertuduhan keempat pula, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dengan menekan dada menggunakan lutut, yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah sekolah rendah agama, di Bandar Bukit Raja di sini pada Jun, Julai dan bulan ini.

Semua kes dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengaku merotan mangsa pertama sebanyak lima kali sementara murid kedua enam kali, hanya kerana salah seorang murid itu membuang sampah merata-rata.

Bagi kes ketiga, tertuduh mengaku mendera seorang murid iaitu mangsa ketiga, menggunakan rotan, kayu penyapu dan raket badminton yang disimpan di dalam bilik guru.

Dia juga telah merakamkan dirinya menekan dada mangsa ketiga itu menggunakan lutut.

Laporan perubatan budak lelaki itu menunjukkan terdapat kesan lebam di dada dan kecederaan lama pada jari mangsa.

Semasa prosiding, lelaki bujang yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah menjatuhi hukuman ringan kerana mengaku insaf.

"Saya benar-benar tekad dan berazam tidak akan mengulangi kesalahan sama lagi.

"Saya perlu menanggung ibu bapa, jadi kalau boleh saya mohon ringankan hukuman," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh berkata, tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan semua mangsa namun tindakannya menganiaya kanak-kanak itu adalah melampau.

"Mangsa ini masih bersekolah, namun akibat perbuatan tertuduh, ia menyebabkan mereka mengalami trauma untuk meneruskan pendidikan di mana-mana sekolah, kerana kejadian ini akan kekal menghantui mereka.

"Kami mohon hukuman berjalan secara berasingan dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi keperluan tertuduh," katanya.

Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung rakaman video memaparkan beberapa kanak-kanak lelaki dipercayai didera.

Polis juga telah mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum ini yang dipisahkan dengan bapanya sejak 2021.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki didakwa didera itu tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!