Kes 'counter setting': SPRM siasat syarikat milik warga Bangladesh

Azam ketika sidang media selepas Persidangan Penyelidikan Governans, Intergriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-3, yang bertemakan "Mendepani Ancaman Rasuah: Pembanterasan Secara Kolektif", pada Khamis. Foto Bernama
Azam ketika sidang media selepas Persidangan Penyelidikan Governans, Intergriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-3, yang bertemakan "Mendepani Ancaman Rasuah: Pembanterasan Secara Kolektif", pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kes berhubung 'counter setting' secara asasnya sudah berakhir apabila siasatan ke atas 50 pegawai penguatkuasa sedang disiapkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, secara prinsipnya siasatan berhubung kes itu sudah berakhir apabila semua dalang atau anggota penguat kuasa terlibat sudah dirakam percakapan dan siasatan lanjut sedang disiapkan oleh pegawai SPRM.

Beliau berkata, SPRM kini hanya ingin menentukan sama ada akan dilakukan pertuduhan atau tidak.

Namun begitu katanya, satu penyiasatan baharu dilakukan ke atas sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang warga Bangladesh yang beroperasi di negara ini.

"Siasatan melibatkan pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes 'counter setting' sudah selesai dan kita sekarang dalam proses melengkapkan siasatan.

"Namun terbaharu SPRM menyiasat sebuah syarikat milik warga Bangladesh yang kita percayai tidak mematuhi peraturan untuk membawa masuk pekerja ke Malaysia.

"Kita sedang dapatkan bukti-bukti daripada akaun syarikat berkenaan bagi menyemak adakah pembayaran dibuat kepada mana-mana pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan berita:

  • SPRM hampir selesai siasatan kes 'counter setting' melibatkan 50 pegawai penguatkuasa; kini menunggu keputusan pertuduhan.
  • SPRM memulakan siasatan baru terhadap syarikat milik warga Bangladesh yang didakwa tidak mematuhi peraturan kemasukan pekerja ke Malaysia.
  • Syarikat itu didakwa membawa masuk pekerja asing tanpa sistem rekod dan menggunakan cara yang tidak sah, termasuk melalui visa pelancong.
  • SPRM sedang mengumpulkan bukti, termasuk menyiasat akaun syarikat untuk mengesan pembayaran kepada pihak berkuasa.
Dijana oleh AI

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ketiga anjuran Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Azam berkata, syarikat yang dimiliki warga Bangladesh itu tidak mempunyai sebarang sistem untuk merekod kemasukan pekerja dari negara asalnya.

Menurut beliau, individu tersebut menjadi orang tengah membawa masuk pekerja ke negara ini dengan pelbagai cara.

Katanya, SPRM mengesan suspek membawa masuk pekerja dengan menyatakan sebagai pelancong, namun 'lesap' selepas berada di Malaysia.

"Satu perkara yang agak sukar untuk dibuktikan kerana SPRM perlu mengesahkan dokumen yang dirampas daripada suspek dan berapa ramai warga asing yang telah dia bawa masuk.

"Tanpa ada sistem digunakan oleh suspek untuk merekod warga asing, ia menyukarkan kita untuk melakukan siasatan," ujarnya.

Sehubungan itu beliau berkata, pegawai penyiasat SPRM cuba mendapatkan banyak perkara terutama berkaitan akaun syarikat milik suspek dan membuat analisa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!