Pemutihan PATI bantu rakyat Indonesia bekerja secara sah di Sabah

Aris (kiri) ketika melakukan kunjungan hormat terhadap Hajiji di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
Aris (kiri) ketika melakukan kunjungan hormat terhadap Hajiji di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Usaha kerajaan Sabah melakukan pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini mendapat maklum balas yang positif daripada Konsulat Republik Indonesia (KRI).

Konsul Republik Indonesia, Aris Heru Utomo melalui kunjungan hormat beliau terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengatakan tindakan kerajaan Sabah itu membantu usaha negara tersebut memberi manfaat pekerjaan kepada rakyat mereka di Sabah.

"Di bawah pelindungan warga Indonesia, pihak kita menghargai kebijakan pemerintahan kerajaan Sabah untuk melakukan pemutihan bagi pendatang yang tidak memiliki dokumen atau melebihi had tempoh tinggal di Sabah.

"Kebijakan pemerintahan kerajaan Sabah memberi manfaat bagi banyak pihak, khususnya pekerja dan majikan. Pekerja yang memiliki dokumen yang sah dapat bekerja secara sah dan seterusnya mendapat upah berdasarkan kesesuaian kelayakan mereka.

"Majikan pula memiliki pekerja yang jelas status kewarganegaraannya tanpa bimbang pekerjanya dihantar pulang kerana melanggar undang-undang imigresen," katanya selepas kunjungan hormat tersebut di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai persempadan antara dua negara, Aris berkata, kedua-duanya pihak mempunyai persefahaman yang sama mengenai pentingnya kerjasama dari sudut ekonomi susulan perpindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

"Untuk itu diharapkan kerjasama dalam memperkukuhkan perhubungan laut, darat dan udara untuk perdagangan dapat dipertingkatkan lagi.

"Dalam kaitan ini, Ketua Menteri Sabah menyampaikan bahawa pihaknya ketika ini sedang menyelesaikan pembangunan jalan di kawasan persempadanan Sei Menggaris, dan dalam masa sama disusuli pembukaan laluan pengangkutan udara Tawau-Tarakan oleh penerbangan Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Aris berkata, diharap kerjasama itu berterusan bagi mengembangkan ekonomi dan seterusnya memberi keuntungan kepada kedua-dua negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!