Lawatan ke China dijemput khas, tiada kaitan dengan ideologi komunisme - Puad Zarkashi

Mohd Puad (dua dari kanan) bersama delegasi BN ketika lawatan ke China. Foto Facebook Mohd Puad
Mohd Puad (dua dari kanan) bersama delegasi BN ketika lawatan ke China. Foto Facebook Mohd Puad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menjelaskan lawatan delegasi Barisan Nasional (BN) ke China atas jemputan khas.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut menyangkal dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa lawatan sambil belajar ke China mempunyai kaitan dengan ideologi komunisme.

Menyifatkan tuduhan itu sebagai melampau, Mohd Puad berkata,

lawatan ke negara itu bersempena 50 tahun hubungan persahabatan Malaysia-China dan fokus kepada soal pemodenan serta cara China memilih dan melatih pemimpin.

"Para ‘balaci’ Bersatu ini mungkin tidak tahu di China wujud ribuan sekolah politik, termasuk di majlis perbandaran. Ia lengkap dengan hotel sampai bertaraf lima bintang.

“Maka kebanyakan persidangan dan perbincangan dibuat di bilik kuliah di sekolah politik ini. Bukan kita belajar ideologi komunis, tapi tajuk dibincangkan ialah pemodenan China, cara China melatih dan memilih pemimpin dan celik media sosial.

"Memang banyak boleh ditiru dengan (membuat) pengubahsuaian. Maksud saya ialah (kita boleh) mempelajari teknik perkaderan, tapi bukan ideologinya,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Mohd Puad berkongsi gambar lawatan delegasi BN ke China baru-baru ini. Foto Facebook Mohd Puad
Mohd Puad berkongsi gambar lawatan delegasi BN ke China baru-baru ini. Foto Facebook Mohd Puad

Pada Rabu, PN membuat laporan polis terhadap Mohd Puad susulan tindakan membawa pemimpin parti itu ke China Sekolah Jawatankuasa Parti Perbandaran Parti Komunis China (PKC), di Beijing.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, pihaknya bimbang sekiranya fahaman komunis akan menular dalam kalangan ahli UMNO dan juga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Tambah Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, saban tahun BN diundang untuk melawat China, termasuk ketika dua pemimpin utama Bersatu Tan Sri, Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sewaktu masih di dalam UMNO.

“Muhyiddin dua kali ke Beijing. April 2011 dan November 2014. Mana mungkin setakat mendengar taklimat kejayaan ekonomi China sudah layak dituduh menerima ideologi komunis," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!