Bukit batu kapur di Gua Musang, Kuala Krai ada potensi sebagai geopark

Zaidi (kanan) melakukan pelepasan Konvoi Ride To Stong Geopark pada Khamis.
Zaidi (kanan) melakukan pelepasan Konvoi Ride To Stong Geopark pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kelantan mengenal pasti beberapa lokasi di Kelantan yang mempunyai potensi untuk diangkat sebagai geopark terutama di kawasan bukit batu kapur di Gua Musang dan Kuala Krai.

Pengarah JMG Kelantan, Zaidi Daud berkata, setakat ini hanya satu kawasan yang diiktiraf Gunung Stong, Gua Musang.

Menurutnya, keunikan geologi di daerah Gua Musang antara faktor yang boleh diambil kira untuk diiktiraf sebagai kawasan geopark termasuk bekas lombong pada zaman penjajah selain persekitaran yang menarik.

"Ada beberapa kriteria yang membolehkan kawasan itu angkat sebagai geopark antaranya penglibatan komuniti, kepelbagaian biologi dan persekitaran yang menarik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pelepasan Konvoi Ride To Stong Geopark di sini pada Khamis.

Hadir sama, Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia negeri Kelantan, Hasim Mohamed.

Menurut Zaidi, Gunung Stong diiktiraf sebagai geopark pada 17 November 2022 selepas beberapa keunikan ditemui di kawasan itu.

Peserta Konvoi Ride To Stong Geopark bergambar sebelum pelepasan ke lokasi itu.
Peserta Konvoi Ride To Stong Geopark bergambar sebelum pelepasan ke lokasi itu.

Artikel Berkaitan:

"Paling istimewa kawasan itu ditumbuhi bunga raflesia serta sejenis pokok palas dan spesies buluh yang hanya ada di Stong geopark sahaja," katanya.

Jelasnya, Stong geopark merupakan geopark kelapan di negara ini merangkumi keseluruhan daerah Jeli dan kawasan Dabong di Kuala Krai membabitkan luas keseluruhan 2,132 kilometer (km) persegi.

"Kita mengalu-alukan agensi lain bekerjasama melengkapkan kawasan itu dengan fasiliti yang diperlukan selain penambahbaikan dari masa ke masa untuk keselesaan pengunjung," katanya.

Melalui program berkenaan seramai 150 penunggang motosikal berlepas ke Stong Geopark untuk mempromosikan kawasan berkenaan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!