Setiausaha Agung ASEAN gesa perkukuh kerjasama maritim
JAKARTA - Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani cabaran maritim yang ketara di Asia Tenggara, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan ancaman alam sekitar.
Menerusi rakaman ucapan beliau di Forum Geopolitik Jakarta kelapan, Kao menggariskan bahawa dialog yang lebih erat, peningkatan kepercayaan, komitmen terhadap undang-undang antarabangsa serta penyelarasan tindakan adalah kunci untuk tindak balas berkesan terhadap cabaran bersama.
"Kita mesti berpegang teguh pada dedikasi kita untuk memupuk dialog, kerjasama dan penyelesaian pertikaian secara aman bagi memastikan perairan kita menjadi sumber keamanan dan kemakmuran, bukannya medan ketidakstabilan, persaingan, konfrontasi dan konflik,” katanya.
Forum selama tiga hari itu yang berakhir pada Khamis, dianjurkan oleh Lembaga Ketahanan Nasional Indonesia bertemakan ‘Addressing Geo-Maritime Resilience Challenges in the Indo-Pacific’.
Kao turut menekankan komitmen ASEAN untuk menyelesaikan pertikaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) yang disifatkannya sebagai tonggak kestabilan rantau ini.
Beliau juga menekankan pentingnya mengakui bahawa banyak cabaran maritim seperti kemerosotan alam sekitar, jenayah maritim rentas sempadan, serta aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU), melangkaui sempadan negara.
"Tindakan yang diselaraskan dalam hal ini bukan sahaja wajar malah sangat penting,” katanya merujuk kepada 'ASEAN Framework of Action on Marine Debris'.
Menangani pencemaran plastik marin memerlukan usaha nasional yang mantap serta kerjasama serantau kerana sampah laut bergerak bebas merentasi sempadan, katanya.
Berhubung isu IUU dan lanun maritim, Kao berkata bahawa ia memerlukan usaha bersama daripada pihak awam dan penguatkuasaan merentasi bidang kuasa.
"Pendekatan ASEAN yang menyeluruh memastikan cabaran bersama ini ditangani secara kolektif, dengan penyertaan aktif semua negara anggota, pihak berkepentingan dan rakan kongsi luar,” kata beliau.
Asia Tenggara adalah rantau maritim yang strategik, di mana pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan keselamatan bersatu.
Dengan 66 peratus kawasannya terdiri daripada perairan maritim, Asia Tenggara menjadi jaringan penting yang menghubungkan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, selain menjadi laluan penting bagi perdagangan global. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!