Sultan Selangor disembah maklum surat permohonan maaf Sanusi

Hantaran di Facebook Selangor Royal Official berhubung permohonan maaf daripada Muhammad Sanusi.
Hantaran di Facebook Selangor Royal Official berhubung permohonan maaf daripada Muhammad Sanusi.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan negeri berkenaan.

Selangor Royal Official dalam kenyataannya memaklumkan, surat bertarikh pada Rabu itu antaranya memuatkan permohonan ampun dibuat Muhammad Sanusi atas kenyataan telah dipertuduhkan terhadap beliau di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor.

Jelas kenyataan itu, Muhammad Sanusi mengakui bahawa kenyataan beliau itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah menggores hati serta perasaan baginda.

"Beliau (Muhammad Sanusi) benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan tersebut," menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Official pada Khamis.

Terdahulu, Muhammad Sanusi memohon ampun kepada Sultan Selangor berikutan kenyataan beliau pada Julai tahun lalu yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda.

Muhammad Sanusi turut memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan rakyat negeri itu atas keterlanjuran kata-kata beliau.

Muhammad Sanusi turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan memastikan setiap ucapan beliau selaras dengan adab sopan serta budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja.

Pada 29 Februari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau terhadap dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Artikel Berkaitan:

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!