Kerjasama serantau penting buka potensi penuh tenaga ASEAN - Fadillah
Fadillah (dua dari kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42 Vientiane hari ini. - Foto: FB Fadillah Yusof
A
A
A
Sebagai Naib Pengerusi AMEM, Fadillah memfokuskan usaha bersama adalah penting untuk memanfaatkan sumber tenaga yang pelbagai di rantau ini dengan berkesan.
Beliau berkata, ASEAN telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam kerjasama tenaga dan adalah penting bagi semua negara anggota untuk terus melakar kejayaan itu.
"Rantau kita kaya dengan sumber tenaga yang pelbagai, daripada bahan api fosil yang banyak kepada potensi tenaga boleh baharu yang luas.
"Bagaimanapun, kita juga menghadapi beberapa cabaran termasuk keselamatan tenaga, kebolehcapaian dan keperluan yang mendesak untuk beralih kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan," katanya.
Fadillah berkata Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif itu dan telah menyaksikan manfaat kerjasama serantau secara langsung.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam hal ini Malaysia komited untuk berkongsi pengalamannya sambil belajar daripada semua negara anggota ASEAN.
"Sama ada melalui memajukan Grid Kuasa ASEAN, meningkatkan kecekapan tenaga atau meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu, kerjasama kita adalah penting untuk membuka potensi penuh di rantau ini," katanya.
Sehubungan itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perbincangan yang akan diadakan oleh menteri-menteri tenaga ASEAN dalam beberapa hari akan datang adalah penting untuk membentuk masa depan landskap tenaga ASEAN.
Memandangkan Malaysia kini bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi AMEM pada 2025, Fadillah berkata, beliau amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh komuniti ASEAN kepada Malaysia.
"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan setiap daripada anda pada tahun yang akan datang dalam mengukuhkan kerjasama dan memajukan agenda peralihan tenaga di rantau ini.
"Ia adalah masa yang mengujakan bagi ASEAN apabila kita secara kolektif meneroka teknologi baharu, memperdalam cita-cita tenaga boleh baharu dan meningkatkan akses tenaga untuk semua rakyat kita," tambahnya.
Mesyuarat AMEM ke-42 selama dua hari dan mesyuarat yang berkaitan bermula hari ini, diadakan serentak dengan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-24.
Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Menteri Tenaga dan Galian Laos, Phoxay Sayasone. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!