SPRM tumpu perangi rasuah dalam sektor pembinaan

Azam menyampaikan ucaptama pada Persidangan Penyelidikan Governans, Intergriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-3 pada Khamis. Foto Bernama
Azam menyampaikan ucaptama pada Persidangan Penyelidikan Governans, Intergriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-3 pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Kelemahan sistem tatakelola dan salah guna kuasa dalam sektor pembinaan akan menjadi tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi isu rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sektor pembinaan dilihat amat terdedah kepada berlakunya kes rasuah kerana ia melibatkan banyak peluang projek dilaksanakan.

Sehubungan itu katanya, tumpuan utama SPRM ketika ini adalah membabitkan kontrak-kontrak kerajaan dengan syarikat pembinaan di peringkat negeri dan persekutuan.

"Ya memang sektor pembinaan salah satu sektor di bawah pemerhatian kami dan kami tumpukan kontrak-kontrak yang mana melibatkan kerajaan sahaja.

"Kita lihat dan beri tumpuan berhubung perkara ini kerana memang banyak berlaku ketirisan," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ketiga anjuran Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Azam berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) juga telah bersetuju dengan cadangan menggalakkan semua syarikat gred G7 untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 Anti Bribery Management System (ABMS).

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan kesungguhan pihak syarikat dalam sektor pembinaan supaya mempunyai pemahaman tentang pembanterasan rasuah," ujarnya.

Azam berkata, sekiranya MS ISO 37001 ABMS tidak diperoleh, syarikat berkenaan berkemungkinan tidak boleh menyertai tender di bawah Kementerian Kewangan.

Selain itu beliau berkata, syarikat terlibat juga akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan bagi projek kerja bernilai RM100 juta ke atas bagi tempoh dua tahun pertama.

"Inisiatif tersebut menyokong prinsip liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!