Kongres AS luluskan pembiayaan sementara elak penutupan kerajaan

Rang undang-undang itu juga merangkumi tambahan AS$231 juta untuk Perkhidmatan Rahsia bagi memperkukuh keselamatan dalam kempen presiden - Foto: Agensi
Rang undang-undang itu juga merangkumi tambahan AS$231 juta untuk Perkhidmatan Rahsia bagi memperkukuh keselamatan dalam kempen presiden - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Kongres Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang pembiayaan jangka pendek, sekali gus mengelakkan penutupan kerajaan yang hampir berlaku.

Langkah ini memastikan operasi persekutuan dapat diteruskan sebelum pilihan raya akan datang, sekali gus mengelakkan gangguan perkhidmatan.

Senat meluluskan rang undang-undang dengan undian 78-18 pada Rabu, selepas Dewan Perwakilan meluluskannya dengan undian 341-82, lapor Xinhua.

Pakej ini, yang dirundingkan oleh Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson bersama pemimpin Demokrat akan mengekalkan pembiayaan kerajaan pada tahap semasa sehingga 20 Dis, sekali gus membuka ruang untuk rundingan bajet baharu dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Rang undang-undang ini juga merangkumi tambahan AS$231 juta untuk Perkhidmatan Rahsia bagi memperkukuh keselamatan dalam kempen presiden, susulan dua percubaan bunuh terhadap bekas Presiden Donald Trump, yang juga calon presiden daripada parti Republikan.

Trump sebelum ini menuntut agar ahli Republikan di Kongres mendesak penutupan kerajaan sekiranya Akta Perlindungan Kelayakan Pengundi Amerika tidak diluluskan.

Akta itu akan mewajibkan semua warganegara AS menunjukkan bukti kewarganegaraan untuk mendaftar sebagai pengundi, walaupun undang-undang semasa telah melarang bukan warganegara daripada mengundi dalam pilihan raya persekutuan.

Presiden Joe Biden dijangka akan menandatangani rang undang-undang itu sebelum 30 Sept apabila tahun fiskal berakhir. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!