MITI lancar kerangka polisi ekonomi kitaran galak pertumbuhan pembuatan mampan
KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan Kerangka Polisi Ekonomi Kitaran dengan menyasarkan untuk merumuskan semula model industri berasaskan bahan api fosil dan memangkin amalan pertumbuhan hijau dalam rantaian nilai pembuatan.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerangka itu menggariskan tanggungjawab pengeluar yang diperluaskan (EPR) sebagai strategi utama untuk memastikan pengeluar tempatan bertanggungjawab ke atas keseluruhan kitaran hayat produk mereka sehingga di peringkat pelupusan.
"Matlamat EPR bukan untuk menghukum pengeluar tetapi untuk mereka menggabungkan kos pengurusan alam sekitar dalam proses pengeluaran, memberi insentif kepada amalan yang lebih mampan sepanjang proses tersebut.
"Dalam mencapai kelestarian, MITI ingin menggesa semua industri dan pengeluar untuk mempertimbangkan semula operasi mereka dan menggunakan pendekatan yang lebih inovatif untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi kitaran,” katanya semasa melancarkan kerangka itu pada Persidangan Kelestarian Petrokimia kedua di sini hari ini.
Beliau berkata, kerangka ini penting untuk dua sebab utama: pertama, untuk meningkatkan sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada tahap asas semasa sebanyak 24 peratus tetapi melalui laluan yang lebih mampan.
"Kedua, untuk memastikan sektor itu mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan gas rumah hijau daripada sumbangan semasa sebanyak 20 peratus kepada pelaporan perubahan iklim negara kita,” katanya.
Tengku Zafrul berkata kerangka itu turut dirangka untuk melengkapi matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) Kebangsaan dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS).
"Kami akan berusaha untuk mendapatkan pelaburan dalam bidang seperti pembuatan semula dan pengubahsuaian, pengurusan sisa industri dan kitar semula yang lebih cekap.
"Ini akan menjana pengeluaran industri dan produk mampan baharu, membuka peluang perniagaan baharu kepada industri kita,” katanya.
Beliau berkata MITI berharap dapat menarik lebih banyak pelaburan hijau dengan melaksanakan kerangka itu dan membolehkan pertumbuhan ekonomi hijau.
Di peringkat serantau, Tengku Zafrul berkata, Asia Tenggara boleh kehilangan sehingga 11 peratus daripada KDNK menjelang akhir abad ini jika ia gagal menangani perubahan iklim.
Oleh itu, katanya berdasarkan Malaysia akan mengambil alih tugas sebagai pengerusi ASEAN 2025 tidak lama lagi, MITI merancang untuk memberikan lebih banyak dorongan kepada usaha kelestarian di rantau ini selain mengambil kira kapasiti berbeza setiap negara anggota.
"Memangkin akses kepada pembiayaan untuk daya tahan iklim di ASEAN dan penerapan segera Kerangka Polisi Ekonomi Kitaran akan menentukan hala tuju untuk matlamat tersebut,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!