Ramai wanita belum sedia hamil tidak guna perancang keluarga

Rohani (tengah) beramah mesra bersama peserta Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024, 'Kontraseptif Dalam Abad ke-21: Cabaran dan Peluang' yang diadakan di Kuala Nerus, pada Khamis.
Rohani (tengah) beramah mesra bersama peserta Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024, 'Kontraseptif Dalam Abad ke-21: Cabaran dan Peluang' yang diadakan di Kuala Nerus, pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Kajian mendapati lebih satu daripada lima wanita di Malaysia yang belum bersedia hamil tidak menggunakan sebarang kaedah kontraseptif moden untuk merancang kehamilan.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, angka itu berdasarkan kajian National Health & Morbidity Survey 2022: Maternal and Child Health (NHMS, 2022).

Menurutnya, data berkenaan mendapati jumlah keperluan perancang keluarga yang tidak dipenuhi di Malaysia masih tinggi iaitu dianggarkan sekitar 26.7 peratus.

"Kepentingan perancang keluarga tidak harus dilihat sebagai agenda untuk mengurangkan kelahiran semata-mata, tetapi perlu dilihat sebagai agenda pembentukan keluarga yang lebih berkualiti.

"Kesihatan fizikal, mental dan kesediaan wanita untuk hamil secara selamat adalah elemen yang perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi setiap wanita perlu melalui fasa kehamilan yang mencabar dan berbeza-beza.

"Aspek ekonomi keluarga juga perlu diambil kira dalam keputusan menentukan jumlah anak yang dikehendaki ke arah pembentukan keluarga yang sejahtera.

"Perancangan keluarga yang baik bukan sahaja membantu dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kesihatan anggota keluarga, tetapi juga mewujudkan suasana yang harmoni dan seimbang dalam rumah tangga," katanya.

Rohani (tengah) merakam gambar bersama peserta Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024, 'Kontraseptif Dalam Abad ke-21: Cabaran dan Peluang' yang diadakan di Kuala Nerus, pada Khamis.
Rohani (tengah) merakam gambar bersama peserta Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024, 'Kontraseptif Dalam Abad ke-21: Cabaran dan Peluang' yang diadakan di Kuala Nerus, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian penutupan Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024, 'Kontraseptif Dalam Abad ke-21: Cabaran dan Peluang' anjuran bersama United Nation Population Fund (UNFPA) di sini pada Khamis.

Jelas Rohani, konsep merancang keluarga bukan bertujuan untuk menyekat kelahiran bayi atau pertambahan keluarga, namun ia merupakan langkah proaktif bagi mengelak kehamilan dalam keadaan tidak bersedia.

"Langkah ini diambil bagi menjarakkan kehamilan untuk mengelakkan kelahiran yang terlalu rapat yang tidak sihat serta mengelak kehamilan berisiko tinggi bagi wanita yang mempunyai masalah kesihatan, serta hamil di usia terlalu muda atau terlalu lewat," ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, LPPKN terus memperkasa advokasi dan promosi perancang keluarga bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia terhadap kaedah serta keperluan perancang keluarga melalui pelaksanaan Kempen Bulan Perancang Keluarga 2024 dengan tema 'Merancang Keluarga Sejahtera' sepanjang September ini.

Beliau berkata, tema tersebut dipilih bagi menyebarkan mesej kepada masyarakat mengenai kepentingan perancangan keluarga dalam membina asas kukuh demi kesejahteraan institusi tersebut.

"LPPKN telah melaksanakan program serta aktiviti sepanjang bulan September ini antaranya, taklimat dan ceramah perancang keluarga, pemberian kontraseptif percuma kepada kumpulan sasar dalam kalangan B40 dan yang berisiko tinggi melalui 50 Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara," katanya.

Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024 kali ini menampilkan tiga ahli panel iaitu Pakar Perubatan Reproduktif dan Pensyarah Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Malini Mat Napes; Pensyarah Pengajian Kontemporari Islam UniSZA, Prof Madya Dr Siti Khatijah Ismail dan Pengerusi Kelab Beliawanis Cawangan Besut, Nur Syahirah Sopri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!