Selangor catat pertumbuhan pendapatan isi rumah paling tinggi di Malaysia
SHAH ALAM - Negeri Selangor mencatat pertumbuhan pendapatan isi rumah paling tinggi di Malaysia sementara Putrajaya dan Kuala Lumpur pula mencatatkan penurunan yang ketara.
Menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertajuk The State of Households 2024: Households and the Pandemic 2019-2022 (SoH 2024), Selangor merekodkan prestasi yang lebih baik dengan peningkatan purata tahunan sebanyak RM410 dengan purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 5.1 peratus.
Laporan itu menyebut, pendapatan bagi daerah-daerah di Selangor, kecuali Klang dan Petaling berada dalam desil (decile) tertinggi pertumbuhan dan daerah dengan pertumbuhan pendapatan isi rumah pada desil tertinggi pada 2019 hingga 2022 adalah Kuala Langat (11 peratus), Sepang (10 peratus) dan Hulu Langat (lapan peratus).
KRI turut mendedahkan, dari 2016 hingga 2019, semua negeri di Malaysia kecuali Sabah telah mencatatkan pertumbuhan positif dalam pendapatan median isi rumah, sebelum mencatat penurunan ketara bagi tempoh 2019 hingga 2022.
“Penurunan ketara dalam pendapatan median isi rumah, terutamanya Putrajaya (-1.3 peratus) dan Kuala Lumpur (-2.5 peratus),” menurut laporan itu dikongsi di laman Facebook KRI pada Khamis.
Menurut laporan itu lagi, beberapa daerah di Sabah dan Sarawak juga menunjukkan daya tahan sepanjang tempoh 2019 hingga 2022, menempatkan daerah-daerah terbabit dalam kalangan daerah dengan pertumbuhan tertinggi.
“Menariknya, banyak daerah di Sabah dan Sarawak yang menunjukkan pertumbuhan pada quintil terendah pada 2016 hingga 2019, menunjukkan peningkatan ketara pada tempoh 2019 hingga 2022,” menurut laporan itu.
Sementara itu, laporan SoH 2024 mendapati pendapatan boleh guna median sebenar isi rumah di peringkat nasional jatuh dengan ketara daripada RM110 pada tempoh 2016-2019 (2.1 peratus) kepada hanya RM16 (satu peratus) pada tempoh 2019-2022.
“Semua negeri dan wilayah persekutuan di seluruh Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif bagi tempoh 2016-2019, namun, antara 2019 dan 2022, hanya lima negeri menunjukkan peningkatan dalam pertumbuhan pendapatan boleh guna isi rumah, iaitu Selangor (4.6 peratus), Sarawak (0.7 peratus), Johor (0.7 peratus), Pahang (0.4 peratus) dan Sabah (0.2 peratus).
“Selangor menjadi negeri yang paling menonjol, dengan peningkatan purata mutlak sebanyak RM303, di mana tujuh daerahnya mencatatkan berada dalam peratusan tertinggi pertumbuhan pendapatan boleh guna median isi rumah,” menurut laporan KRI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!