LTdL 2024: Peluang 'terhidang' Nur Aiman sambar jersi putih, Izzat Hilmi naik podium

Peluang 'terhidang' buat Nur Aiman (kiri) sambar jersi putih manakala Izzat Hilmi naik podium dalam aksi LTdL 2024 yang memulakan kayuhan Ahad ini. - Foto: IG
Peluang 'terhidang' buat Nur Aiman (kiri) sambar jersi putih manakala Izzat Hilmi naik podium dalam aksi LTdL 2024 yang memulakan kayuhan Ahad ini. - Foto: IG
A
A
A

PELUMBA Malaysia dijangka mampu mencipta impak dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dengan peluang 'terhidang' untuk menyambar jersi putih (Pelumba Terbaik Asia) serta meraih kedudukan podium apabila perlumbaan jelajah berbasikal berprestij Asia itu memulakan kayuhan rasmi pada Ahad ini.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Operasi LTdL 2024, Emir Abdul Jalal yang optimis dengan kemampuan pelumba tempatan berdasarkan prestasi semasa dipamer mereka pada edisi lepas biarpun menyedari edisi kali ini kekal menampilkan cabaran sengit.

Antara pelumba yang disebut berpotensi ialah Izzat Hilmi Abdul Halil dari Malaysia Pro Cycling Team (MPC) yang pernah mencatat dua penamat lima teratas terbaik pada edisi sebelumnya.

"Tahun lepas dia dah 'ketuk pintu' dapat tempat kedudukan yang baik dalam beberapa peringkat, jadi saya rasa tak mustahil dia boleh naik podium kali ini," katanya kepada Bernama.

Bagi perebutan jersi putih, nama Muhammad Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team (TSG) disebut-sebut setelah mencipta kejayaan menyambar jersi itu semasa Peringkat 3 LTdL 2023.

"Untuk juara keseluruhan, saya harapkan Muhammad Nur Aiman akan menyumbang dalam perebutan khususnya bagi jersi putih tahun ini memandangkan persembahannya nampak menyakinkan," katanya.

Perlumbaan LTdL 2024 akan bermula di Langkawi untuk Peringkat 1, diikuti Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).

Sebanyak 22 pasukan menyertai perlumbaan berstatus ProSeries (2.Pro) jarak keseluruhan 1,190 kilometer (km), bermula pada 29 Sept dari Pulau Langkawi dan buat kali pertama memasuki Miri dan Bintulu di Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!