PRK Mahkota: Ahmad Zahid perjelas kes jenayah dikait calon BN

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KLUANG - Kes jenayah yang dikaitkan dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak melibatkan pertuduhan di mahkamah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejadian tersebut berlaku 16 tahun lalu ketika Syed Hussien Syed Abdullah cuba mempertahankan keselamatan seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Justeru, beliau mengecam tindakan pembangkang yang sudah ketandusan isu dengan memainkan isu berkenaan.

"(Berdasarkan) laporan yang saya baca, ketika beliau (Syed Hussien) berumur dalam 20-an beliau cuba membela seorang OKU buta daripada diganggu dan dipukul oleh satu kumpulan...(jadi) beliau membela orang buta itu.

"Saya telah semak bahawa tidak ada kes polis dan tidak ada kes mahkamah. Jauh lagi daripada beliau diheret ke mahkamah dalam kes itu yang berlaku pada tahun 2008," katanya pada sidang media selepas Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin bahawa Syed Hussien mempunyai rekod jenayah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Che'gu Bard berkata, Syed Hussien harus memberikan penjelasan berkenaan laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan kes gaduh dan mencederakan.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang sengaja menimbulkan isu peribadi bagi menghilangkan keyakinan pengundi kepada calon BN.

Artikel Berkaitan:

"Pembangkang telah ketandusan isu maka mereka mencari isu peribadi untuk menghilangkan keyakinan pengundi kepada Syed Hussien.

"Mungkin kerana tidak ada sambutan untuk calon mereka, maka mereka cuba untuk mengganggu calon kita," katanya.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!