Orang bukan Islam lakukan sertu, ketahui hukumnya

SERTU ialah satu bentuk tuntutan ibadah yang dilakukan sebagai lambang kepercayaan dan kepatuhan kepada perintah ALLAH SWT. -Foto: Canva
SERTU ialah satu bentuk tuntutan ibadah yang dilakukan sebagai lambang kepercayaan dan kepatuhan kepada perintah ALLAH SWT. -Foto: Canva
A
A
A

APABILA sesuatu tercemar dengan najis mughallazah (najis berat) iaitu anjing dan babi serta keturunannya, proses sertu wajib dilakukan.

Tidak kiralah sama ada ia melibatkan kawasan tertentu yang dijilat atau disentuh oleh haiwan tersebut mahupun anggota badan kita yang terkena najis berkenaan.

Ia membabitkan tujuh kali basuhan yang mana sekali dengan air bercampur tanah, diikuti enam kali lagi dengan air mutlak.

Apakah proses sertu itu boleh dilakukan oleh orang bukan Islam?

Sebelum merungkai jawapannya, Jabatan Mufti Negeri Selangor mengajak kita untuk menyelami pensyariatan sertu yang secara asasnya dilakukan atas dasar ta’abudiy (kehambaan).

Jelas jabatan mufti itu, ta’abudiy bermaksud sesuatu hukum itu tidak diketahui illahnya menggunakan akal.

“Ini bermakna, seorang hamba dituntut melaksanakan sesuatu perintah yang tidak dapat diketahui mengapa disyariatkan sebegitu rupa atau apa puncanya, tujuan atau ‘illah di sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

INFOGRAFIK tentang hukum sertu yang dilakukan oleh orang bukan Islam sebagaimana disiarkan dalam laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor.
INFOGRAFIK tentang hukum sertu yang dilakukan oleh orang bukan Islam sebagaimana disiarkan dalam laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor.

“Jadi sertu ialah satu bentuk tuntutan ibadah yang dilakukan sebagai lambang kepercayaan dan kepatuhan kepada perintah ALLAH SWT,” katanya dipetik menerusi artikel Taudhih Al-Hukmi bertajuk ‘Adakah sertu boleh dilaksanakan oleh orang bukan Islam?’ yang disiarkan di laman web jabatan mufti itu.

Berdasarkan kajian amalan sertu yang dilakukan di Malaysia yang melibatkan beberapa pihak dan prosedur tertentu, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelaraskan dan mempertimbangkan mekanisme bagi proses sertu itu melalui tiga kaedah.

Berikut perinciannya:

1. Sertu dilakukan oleh pegawai di Bahagian Halal sendiri;

2. Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)/ Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) melantik syarikat-syarikat luar (penyumberan luar atau kontrak) untuk melaksanakan sertu; dan

3. Sertu dilakukan oleh Jawatankuasa Halal Dalaman syarikat.

Meskipun demikian, Jabatan Mufti Negeri Selangor menegaskan, pelaksanaan proses penyucian itu tetap memerlukan pengesahan daripada JAIN.

“Di samping itu, syarikat yang terlibat dalam menawarkan perkhidmatan sertu itu juga memerlukan perakuan daripada JAIN dalam usaha untuk meyakinkan pelanggan dan bakal pelanggan mereka bahawa perkhidmatan yang ditawarkan mereka adalah sah serta boleh dipercayai,” tulis artikel tersebut.

PENYUCIAN najis melalui kaedah itu hanya boleh dilakukan oleh orang Islam sahaja memandangkan ia merupakan satu bentuk ibadah yang dilakukan atas dasar keyakinan kepada perintah ALLAH SWT. -Foto: Canva
PENYUCIAN najis melalui kaedah itu hanya boleh dilakukan oleh orang Islam sahaja memandangkan ia merupakan satu bentuk ibadah yang dilakukan atas dasar keyakinan kepada perintah ALLAH SWT. -Foto: Canva

Menjawab persoalan sertu oleh orang bukan Islam, Jabatan Mufti Negeri Selangor menegaskan, penyucian najis melalui kaedah itu hanya boleh dilakukan oleh orang Islam sahaja.

Ini kerana katanya, kaedah penyucian itu merupakan satu bentuk ibadah yang dilakukan atas dasar keyakinan kepada perintah ALLAH SWT.

“Pelaksanaan sertu hanya bagi orang Islam ini juga merupakan satu langkah ihtiyat (berhati-hati) supaya perkara ini tidak diambil mudah, selain bagi memastikan tidak berlaku sebarang ketidakpatuhan dan kecuaian ketika melaksanakannya.

“Hal ini kerana jurusertu yang beragama Islam sudah tentu lebih menjaga dan menghayati kepentingan proses sertu berkenaan sebagaimana yang dituntut dalam agama,” tulisnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!