Perluas komuniti jaga lembangan sungai di seluruh Perak

Mohammad Nizar (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Majlis Penganugerahan dan Pengiktirafan Penjagaan Sungai, Tadahan Sungai Kinta di sebuah hotel di Ipoh pada Khamis.
Mohammad Nizar (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Majlis Penganugerahan dan Pengiktirafan Penjagaan Sungai, Tadahan Sungai Kinta di sebuah hotel di Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Projek Pengawasan Kelestarian Tadahan Sungai Kinta melalui Amalan Hidup Hijau melibatkan komuniti wajar diperluaskan ke kawasan sungai-sungai lain di Perak.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, projek tersebut dilihat berjaya dalam usaha memastikan seluruh tadahan Sungai Kinta mencapai status sihat bagi jangka masa panjang.

Menurutnya, susulan kejayaan projek rintis itu, beberapa dokumen serta panduan telah dibangunkan seperti Lembangan Sungai Kinta Berasaskan Komuniti Untuk Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (CBKRB-IRBM), Sasaran Kesihatan Sungai Kinta dan Indeks Kesihatan Sungai bagi tujuan membantu pengurusan bersepadu melalui pendekatan dari bawah ke atas.

"Perak ini merupakan negeri yang pertama menggunakan kaedah berasaskan komuniti iaitu CBKRB-IRBM untuk menguruskan sungai ini dan jika diikuti negeri lain ia akan menjadi satu petanda baik.

"Saya secara peribadi akan pastikan supaya kaedah pengurusan ini digunakan untuk sungai-sungai lain di negeri ini. Insya-ALLAH, kalau kita teruskan penjagaan ini, maka kita akan dapat kurangkan pencemaran pastikan sungai tidak terhakis dan dipelihara dengan baik," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan dan Pengiktirafan Penjagaan Sungai, Tadahan Sungai Kinta di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ahmad Shahrir Md Naziri; Ketua Pegawai Program Yayasan Hasanah, Intan Zalila Mohd Yusof dan Pengurus Program Penjagaan Sungai Global Environment Centre (GEC), Dr K Kalithasan.

Mohammad Nizar berkata, sungai yang sihat amat penting bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi menjana pendapatan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Kita berpandangan kalau sungai ini sihat maka jenis-jenis hidupan di dalam sungai ini juga sihat.

"Kita ada udang ikan jadi ini akan memberikan sumber kepada orang-orang yang duduk di jajaran sungai atau nelayan darat. Mereka boleh cari pendapatan daripada hidupan sungai," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shahrir dalam ucapannya berkata, pihak JPS amat mengalu-alukan lebih banyak kumpulan komuniti atau pihak berkepentingan untuk menjadikan sebahagian jajaran sungai sebagai sungai angkat mereka.

Jelasnya, melalui program sedemikian ia mampu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara dan melindungi kawasan tadahan sungai berhampiran mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!