GISBH: Jabatan Mufti Kelantan belum putuskan fatwa

Mohamad Shukri
Mohamad Shukri
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Mufti Negeri Kelantan belum memutuskan sebarang fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran yang diikuti oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya masih mengumpul bukti serta elemen baharu yang boleh mensabitkan bahawa GISBH merupakan kumpulan ajaran sesat.

Beliau memberitahu, pihaknya juga akan membincangkan mengenai GISB dalam mesyuarat fatwa pada Oktober ini.

“Umum semua tahu bahawa GISBH didakwa mempunyai rangkaian dengan Al-Arqam yang sudah difatwakan sesat tetapi kita tidak mahu terburu-buru mengeluarkan sebarang fatwa berkaitan ajaran dan ikutan mereka.

"Kalau kita kata GISBH sesat, apa buktinya? Perlu cari elemen berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Wacana Intelektual Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V ke-55 2024, pada Khamis.

Jelas beliau, eksploitasi kanak-kanak yang dilakukan tiada kaitan dengan fatwa tetapi membabitkan undang-undang sedia ada.

Mohamad Shukri turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terlibat dengan sebarang ajaran sesat yang dibawa oleh kumpulan tertentu.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, Perlis apabila memutuskan untuk memfatwakan kepercayaan dan ajaran GISBH sebagai sesat sekali gus menjadi negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Sebelum itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan merasmikan Majlis Wacana Intelektual berkenaan.

Baginda turut berkenaan melancarkan Buku Ketatanegaraan Negeri Kelantan berkaitan sejarah, pemerintahan dan pentadbiran sehingga tahun 2020.

Hadir sama, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan Datuk Nasaruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!