Sanusi sangkal dakwaan ke Jepun bukan skop rasmi MB

Muhammad Sanusi merasmikan Pesta Buku Kedah 2024 di Village Mall Sungai Petani.
Muhammad Sanusi merasmikan Pesta Buku Kedah 2024 di Village Mall Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengenai lawatan mempelajari pengurusan operasi takungan air bawah tanah di Jepun yang dikatakan tidak termasuk dalam skop rasmi beliau.

Menurut Muhammad Sanusi, tujuan lawatan dibuat adalah bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai projek pembinaan takungan bawah tanah yang dirancang untuk dilaksanakan di Pulau Langkawi bersama pakar dalam bidang terlibat.

"Depa kata bukan kerja menteri besar dok pi ngaji (mempelajari) takungan bawah tanah tapi saya kena tau, yang memimpin bukan dia kena reti teknikal tu, tapi dia nak lead (mengetuai) leadership (kepimpinan) mesti gambaran yang jelas baru dia boleh lead teknikal agensi...nak dapat gambaran jelas kena tengok, teliti.

Muhammad Sanusi beramah mesra dengan peminat ketika menurunkan tanda tangan sebagai penulis buku bertajuk 'Dinding Sekeping Adik Seorang'.
Muhammad Sanusi beramah mesra dengan peminat ketika menurunkan tanda tangan sebagai penulis buku bertajuk 'Dinding Sekeping Adik Seorang'.

"Penelitian saya mungkin tak sama dengan penelitian seorang jurutera, saya punya penelitian dalam skop saya, jurutera dalam skop dia, kita pi dalam satu team (pasukan)," katanya selepas merasmikan Pesta Buku Kedah 2024 di Village Mall di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari menempelak tindakan Muhammad Sanusi yang memberi alasan bahawa lawatan ke Jepun adalah bagi mempelajari teknik pengoperasian takungan air bawah tanah.

Menurut Mohammed Taufiq, tidak menjadi satu keperluan mendesak bagi Muhammad Sanusi menyertai lawatan kerja terbabit memandangkan projek tersebut akan dibina sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Mohammed Taufiq berkata, menteri besar itu sewajarnya meletakkan keutamaan lebih tinggi untuk rakyat negeri Kedah yang sedang menghadapi ujian banjir.

Muhammad Sanusi melawat reruai sempena Pesta Buku Kedah 2024.
Muhammad Sanusi melawat reruai sempena Pesta Buku Kedah 2024.

"Projek pembinaan takungan bawah tanah di Pulau Langkawi adalah projek penuh kerajaan Persekutuan melalui Bahagian Bekalan Air (BBA) sebagai pelaksana.

"Penilaian teknikal juga akan diuruskan oleh agensi ini yang kini sudah pun di peringkat prapelaksanaan. Beliau juga janganlah bertindak lebih sudu dari kuah, tatkala belum ada lawatan seperti ini oleh menteri di Persekutuan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi menjelaskan akan membentangkan ringkasan maklumat berkaitan masa depan sumber air Kedah kepada Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam masa terdekat.

Jelasnya, ringkasan tersebut adalah hasil lawatan yang dibuat ke projek takungan air bawah tanah di Wilayah Kumamoto City, Jepun itu.

"Kita akan buat satu naskah ringkasan untuk saya persembahkan kepada Sultan Kedah...berkaitan masa depan air di Kedah. Maklumat itu akan kita ringkaskan daripada dokumen-dokumen yang kita peroleh di sana (Jepun)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!