Bekalan minyak masak peket di Selangor mencukupi

Mohd Zuhairi (lima dari kiri) bergambar bersama-sama rakan konvoi serta anak yatim dan miskin semasa RFR Madani 2.0 KPDN Selangor di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin, Sabak Bernam Parit 4, Sekinchan di sini, pada Khamis.
Mohd Zuhairi (lima dari kiri) bergambar bersama-sama rakan konvoi serta anak yatim dan miskin semasa RFR Madani 2.0 KPDN Selangor di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin, Sabak Bernam Parit 4, Sekinchan di sini, pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menolak dakwaan berlaku kekurangan bekalan minyak masak peket di negeri ini seperti dilaporkan media.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya sudah menggerakkan pasukan penguatkuasa KPDN Selangor pada Isnin lalu.

Menurut beliau, hasil pemantauan mendapati minyak masak peket mencukupi iaitu sebanyak 90 peratus di peringkat pemborong dan peruncit pula pada tahap 80 peratus.

"Namun, kita tidak nafi terdapat beberapa laporan kes terpencil berhubung rungutan ketiadaan minyak masak.

"Kebanyakan kedai yang diadu merupakan kedai runcit Acheh yang tidak mempunyai lesen barang kawalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ride for Rahmah (RFR) Madani 2.0 KPDN Selangor di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin, Sabak Bernam Parit 4, Sekinchan di sini pada Khamis.

Beliau menegaskan, kedai milik warga asing seperti Acheh tidak dibenarkan menjual selain pemborong tidak memberikan mereka bekalan minyak masak peket.

"Kekurangan minyak masak peket juga disebabkan kedai mengalami masalah perniagaan, contohnya tidak mempunyai kredit mencukupi dengan pemborong.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak masuk campur dalam masalah perniagaan, sebaliknya apa yang kami buat adalah dengan meminta kedai berdekatan menyediakan bekalan di kawasan tersebut," ujarnya.

Mohd Zuhairi memberitahu, pihaknya turut mengakui berlaku terputus bekalan minyak subsidi itu selama satu atau dua hari sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan menyusun semula bekalan minyak masak bersubsidi itu supaya lebih seimbang seterusnya bekalan akan diperoleh secara konsisten.

Ujar beliau, kira-kira 25 ribu tan metrik minyak masak peket diperlukan dalam sebulan di Selangor membabitkan 75 syarikat pembungkusan.

Ditanya terdapat had pembelian minyak masak peket kepada setiap pelanggan, Mohd Zuhairi menjelaskan pemberian itu ditetapkan tiga peket bagi setiap pelanggan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya turut mendengar aduan daripada peniaga apabila ada yang membeli dalam kuantiti lebih banyak.

"Selain itu, kita juga mendapat aduan mengenai warga asing yang membeli minyak masak peket, namun di negeri ini masih lagi terkawal," tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat segera kepada KPDN sekiranya ketiadaan minyak masak dan sebarang aduan kepenggunaan lain.

"Kami akan memberi komitmen dalam tempoh 24 jam untuk atasi masalah ketiadaan bekalan barang kawalan ini untuk tindakan segera," jelas beliau.

Terdahulu, Mohd Zuhairi membuat pelepasan konvoi bermotosikal dan kereta membabitkan warga KPDN Selangor dan rakan strateginya bermula di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Turut diadakan advokasi kepenggunaan bijak 'price catcher' secara bersemuka dengan pengunjung di sebuah stesen minyak di Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Pengisian kemuncak aktiviti konvoi itu dengan menjalankan kerja-kerja amal seperti membaik pulih surau, menyampaikan bakul Rahmah Madani di rumah anak yatim dan miskin itu serta mendidik mereka berkaitan kepentingan menyokong barangan keluaran tempatan dan cakna dengan ilmu kepenggunaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!