[VIDEO] Sultan Selangor berkenan terima permohonan maaf Sanusi

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi di atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu GISBH dipercepatkan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu GISBH dipercepatkan.

"Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya," titah baginda menerusi warkah perkenan permohonan ampun Sultan Sharafuddin yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Baginda juga menasihati Muhammad Sanusi supaya sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi serta menggunakan perkataan tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama bila berada di Selangor.

"Beta tidak mahu rakyat khususnya di negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata kesat dan tohmahan tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.

"Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, sebagai seorang pemimpin, Muhammad Sanusi harus memikirkan kesan yang akan diperoleh dari setiap tindak tanduk dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Akhir sekali beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab," titah baginda.

Muhammad Sanusi pada Rabu memohon ampun kepada Sultan Selangor berikutan kenyataan beliau pada Julai tahun lalu yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda.

Muhammad Sanusi turut memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan rakyat negeri itu atas keterlanjuran kata-kata beliau.

Muhammad Sanusi turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan memastikan setiap ucapan beliau selaras dengan adab sopan serta budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja.

Pada 29 Februari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau terhadap dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!