Keluarga Orang Asli tuntut penjelasan lepas anak mati dalam lokap

Noriah (kanan) bersama Rodiah menunjukkan laporan polis yang dibuat 20 September lalu dan foto Norazman yang meninggal dunia dalam lokap IPD Pekan pada 4 Mei lalu.
Noriah (kanan) bersama Rodiah menunjukkan laporan polis yang dibuat 20 September lalu dan foto Norazman yang meninggal dunia dalam lokap IPD Pekan pada 4 Mei lalu.
A
A
A

KUANTAN - Pasangan suami isteri Orang Asli dari Runchang, Pekan mendesak pihak polis mendedahkan hasil siasatan berhubung kematian anak sulung mereka yang ditemui meninggal dunia dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 4 Mei lalu.

Noriah Hitam, 51, dan suami, Me King King, 58, mendakwa, sehingga kini pihak keluarga langsung tidak dimaklumkan berhubung perkembangan kes kematian anaknya, Norazman Me, 25, yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi motosikal.

Noriah berkata, pihak keluarga hanya diberitahu siasatan kes dijalankan pasukan polis dari Bukit Aman.

"Sekarang sudah hampir lima bulan kejadian berlaku namun kami langsung tidak menerima sebarang maklum balas daripada polis.

"Saya tidak puas hati dan mendesak siasatan kematian anak saya dilakukan secara terperinci dan adil," katanya.

Pasangan itu bersama seorang lagi anak mereka, Rodiah Me, 19, ditemui di pejabat peguam yang mewakili mereka, Datuk Bob Arumugam di sini pada Khamis.

Noriah berkata, pihak keluarga juga kesal kerana tidak dibenarkan untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lokap bagi melihat sendiri kejadian sebenar yang berlaku.

Jelas Noriah, anaknya ditahan bersama seorang rakan di Sungai Miang, Pekan kerana disyaki terlibat dalam kes curi motosikal pada 1 Mei.

Artikel Berkaitan:

"Kira-kira jam 3 pagi, 4 Mei lalu, kami menerima panggilan daripada pihak polis memaklumkan anak lelaki saya meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

"Kami ke HTAA dan mayat diserahkan kepada keluarga selepas selesai bedah siasat untuk dibawa pulang dan dikebumikan.

"Selepas itu, kami langsung tidak menerima sebarang jawapan kes ini walaupun beberapa kali cuba menghubungi pegawai terlibat melalui panggilan telefon dan pesanan WhatsApp untuk mengetahui perkembangannya," katanya.

Noriah berkata, pada 19 September lalu keluarga telah menemui Bob Arumugam dan pada hari berikutnya mereka bersama peguam ke IPD Pekan untuk membuat laporan polis.

"Bagaimanapun selepas seminggu berlalu, kami masih tidak mendapat sebarang maklum balas," ujarnya.

Suri rumah itu berkata, kali terakhir dia bertemu anak sulung itu April lalu memandangkan Norazman yang juga duda tinggal bersama bapa saudara di Sungai Miang.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan awal susulan insiden kematian tahanan itu.

Menurutnya, tangkapan dibuat atas kesalahan mencuri motosikal dan ditahan di lokap IPD Pekan.

"Kes ini telah dibuka kertas siasatan SDR (mati mengejut) selepas kejadian.

"Saya juga bersedia untuk bertemu dengan keluarga mangsa bagi tujuan penjelasan lanjut berkaitan kes itu," katanya ketika dihubungi pemberita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!