Langkah Sihat Putrajaya dapat sambutan hebat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Aplikasi BiiB berbesar hati mengumumkan kejayaan inisiatif Langkah Sihat Putrajaya yang berlangsung dari 20 Ogos hingga 3 September lalu.

Kerjasama ini berjaya menggerakkan hampir 13,000 penjawat awam di Putrajaya untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada 24 April 2024, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkaitan pelaksanaan Inisiatif Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS). Pelaksanaan ini melibatkan penjawat awam sebagai kumpulan sasar bagi tempoh 2024-2030.

Program Langkah Sihat Putrajaya adalah salah satu aktiviti dibawah PSS yang bertujuan menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan penjawat awam secara kreatif, dengan menetapkan sasaran 10,000 langkah sehari.

Selain cabaran kecergasan, inisiatif ini turut membawa perubahan budaya dalam bandar, mempromosikan komuniti dan individu yang sihat serta aktif. BiiB, platform digital Malaysia yang berfokus kepada cabaran kecergasan komuniti memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan digital serta kepakaran bagi memastikan Langkah Sihat Putrajaya lebih mudah diakses, menyeronokkan, dan menarik.

Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Suraiya Syed Mohamad, berkata, semangat, kerjasama dan komitmen yang ditonjolkan benar-benar memberi inspirasi kepada semua.

“Inisiatif ini telah melangkaui jangkaan kami. Kami menyaksikan penglibatan penjawat awam yang amat memberangsangkan serta kerjasama erat antara kementerian dan agensi kerajaan melalui penganjuran aktiviti berjalan kaki secara berkumpulan sebelum dan selepas waktu kerja untuk mencapai sasaran langkah harian,”katanya.

Pengasas bersama BiiB, Tan She Yong, menekankan pentingnya mencipta persekitaran yang menggalakkan tindakan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun manfaat gaya hidup aktif telah lama diakui, cabaran utama sentiasa terletak pada usaha mewujudkan pencetus dan sistem sokongan yang betul.

“Langkah Sihat Putrajaya berjaya memenuhi kedua-dua aspek ini, menggerakkan seluruh Putrajaya untuk mengambil langkah positif ke arah kesihatan yang lebih baik,”katanya.

Kesan inisiatif ini bukan sahaja beri semangat kepada para peserta, malah turut terlihat pada peningkatan minat terhadap aplikasi BiiB, yang melonjak ke tangga teratas di App Store selama tiga hari berturut-turut minggu lepas, dengan penilaian hampir 5 bintang dan ulasan positif di media sosial.

Pencapaian ini menonjolkan daya tarikan meluas serta peranan BiiB dalam mewujudkan komuniti yang menyeronokkan, berdaya saing dan saling menyokong.

Kejayaan Langkah Sihat Putrajaya adalah bukti komitmen kerajaan yang kukuh dalam memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. KKM berharap dapat mengulangi kejayaan ini dalam usaha memperkasakan budaya hidup sihat di seluruh negara.

Pada 28 hingga 29 September 2024, KKM akan menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif serta saringan kesihatan untuk orang awam sempena sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di Dataran Wawasan Putrajaya. Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!