33 ekor anjing disyaki mati diracun

Anjing-anjing ini ditemui mati secara berkumpulan dengan keadaan mulut berbuih dan berdarah.
Anjing-anjing ini ditemui mati secara berkumpulan dengan keadaan mulut berbuih dan berdarah.
A
A
A

JEMPOL - Sekurang-kurangnya 33 ekor anjing liar ditemukan mati di tiga taman perumahan di Bahau di sini sejak 8 September lalu, dipercayai diracun oleh individu tidak bertanggungjawab.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Bahau, Datuk L Manickam berkata, kawasan terlibat ialah Taman Desa Puteri, Taman Meranti dan Taman Kasih Putera.

"Kali pertama kami diberitahu mengenai kejadian ini pada 8 September lepas yang mana terdapat lima anjing liar ditemui mati di Taman Desa Puteri.

"Anjing-anjing ini ditemui mati secara berkumpulan dengan keadaan mulut berbuih dan berdarah," katanya dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang berkata, kejadian sama turut dimaklumkan penduduk berlaku di Taman Meranti dan di Taman Kasih Putera dengan jumlah keseluruhan anjing ditemukan mati setakat ini 33 ekor.

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah membuat laporan polis bagi meminta siasatan lanjut dilakukan.

Manickam (kanan) menunjukkan laporan polis dibuat bagi mengesan siasatan lanjut dibuat polis.
Manickam (kanan) menunjukkan laporan polis dibuat bagi mengesan siasatan lanjut dibuat polis.

"Kalau setakat seekor, dua kita mungkin beranggapan anjing itu sakit. Tapi sekarang ini berpuluh-puluh ekor anjing mati dan ia seperti satu gerakan terancang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya tindakan tegas perlu diambil terhadap si pelaku kerana meracun haiwan merupakan perbuatan yang tidak perikemanusiaan," katanya.

Tambah Manickam, lebih meyakinkan persatuannya yang anjing itu mati diracun kerana sebelum ini dilihat dalam keadaan baik-baik sahaja.

Ini kerana katanya, terdapat persatuan pencinta haiwan yang selalu memberi makan kepada anjing-anjing terbabit.

"Saya berpendapat, Jabatan Veterinar boleh mengeluarkan risalah mendidik orang awam bagaimana nak berhadapan dengan anjing-anjing liar ini.

"Kalau tak suka dengan anjing ini pun janganlah bunuh dengan bagi racun," katanya.

Jelasnya, perbuatan membunuh haiwan boleh didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atau Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!