Lapan tong disyaki bahan kimia ditemui dalam parit di Sungai Buloh

Lapan tong sisa buangan jenis cecair dipercayai bahan kimia ditemui di dalam parit berhampiran kawasan perkilangan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, di sini dua hari lepas. Foto JBPM
Lapan tong sisa buangan jenis cecair dipercayai bahan kimia ditemui di dalam parit berhampiran kawasan perkilangan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, di sini dua hari lepas. Foto JBPM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan tong sisa buangan jenis cecair dipercayai bahan kimia ditemui di dalam parit berhampiran kawasan perkilangan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, di sini dua hari lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.02 malam, Selasa lepas sebelum menemui tong berkenaan di dalam parit sedalam 0.3 meter.

Beliau berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ketika ini masih dalam proses mengalihkan tong tersebut dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel.

Mukhlis berkata, operasi tersebut turut melibatkan bantuan daripada JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengesahkan terdapat lapan tong tanpa label ditemui dalam parit terbabit selain mengesan bau kuat seakan bahan kimia di lokasi tersebut.

"Pemerhatian lanjut LUAS mendapati alur parit memasuki Sungai Gasi seterusnya ke Sungai Buloh. Tiada muka sauk loji rawatan air (LRA) berada di hilir aliran itu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MPS sudah memasang pita keselamatan di lokasi untuk tindakan siasatan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!