PM mahu projek SMISTA di Bukit Jalil disegerakan

Anwar bersama Mohd Na’im Mokhtar (kiri) melakukan gimik pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Taman Alam Sutera, Bukit Jalil pada Khamis. Foto Bernama
Anwar bersama Mohd Na’im Mokhtar (kiri) melakukan gimik pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Taman Alam Sutera, Bukit Jalil pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan projek Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Bukit Jalil disegerakan.

Beliau juga mahu proses tender bagi projek pembinaan sekolah itu dilaksanakan dengan penuh teliti.

"Saya mahu SMISTA dilaksanakan segera, peruntukannya besar sekitar RM76 juta. Saya minta (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr (Mohd) Na’im (Mokhtar) dapatkan laporan dalam tempoh satu minggu tentang perkembangannya,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan SMISTA di sini pada Khamis.

SMISTA, yang ditubuhkan pada 2011, menawarkan pendidikan berteraskan agama serta pendidikan sains moden dan konvensional bertujuan melahirkan para huffaz yang mampu mengimbangi kehidupan dunia serta ukhrawi.

Pembinaan SMISTA di Bukit Jalil dijadualkan bermula dalam suku kedua 2025 dan dijangka siap pada 2028.

Menyentuh mengenai pembinaan SMISTA, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata cadangan pembinaan sekolah itu di tapak hari ini telah diusulkan antara 2011 atau 2013 namun tiada sebarang kelulusan diberikan.

Beliau berkata terdapat cadangan untuk menukar status tapak itu, yang mempunyai nilai komersial tinggi kerana kedudukannya yang strategik di ibu negara, kepada kawasan komersial manakala projek SMISTA dialih ke lokasi lain.

Artikel Berkaitan:

"Namun apabila saya dimaklumkan mengenai projek ini yang masih belum diluluskan, saya minta lulus segera dan saya juga bersetuju dengan MAIWP untuk bina di tapak ini kerana di kawasan ini, ada perumahan, ada keluarga dan memerlukan sekolah.

"Kita nak majukan Kuala Lumpur bukan sahaja supaya dikenali dengan hotel lima bintang, restoran mewah, menara pencakar langit tetapi juga perumahan rakyat, gerai bersih dan ada sekolah seperti SMISTA ini," katanya.

Anwar turut menggesa MAIWP agar memastikan tatakelola baik dilaksanakan sepanjang pembinaan dan pentadbiran projek sekolah itu sekali gus memastikan ia siap lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

Perdana Menteri juga berkata, pendidikan kepada generasi Huffaz di negara ini harus seimbang antara menguasai ilmu asas dalam agama dan al-Quran sambil memperkukuh disiplin ilmu baharu.

"Dunia menuntut perubahan dan kita tidak boleh ketinggalan. Kerajaan mahu kita kembali ke landasan, jangan tumpu pada satu bidang, beri keseimbangan.

"Ya, jadi seorang huffaz (penting) tetapi jangan tinggalkan pemikiran, ilmu dan penguasaan teknologi baharu,"' katanya.

Anwar berkata, tradisi Islam perlu digabungkan dengan sains moden dan kemahiran baharu untuk membangunkan generasi muda yang aktif selain membawa perubahan serta kebaikan kepada masyarakat.

"Jika tidak, kita hanya jadi alim tetapi negara dikuasai oleh teknologi yang mereka (orang luar) pegang dan kita hanya menonton," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!