Pelbagai spesies ikan mati di Sungai Balok
KUANTAN - Pelbagai spesies ikan ditemui mati di Sungai Balok di sini pada pagi Khamis disyaki akibat pencemaran sungai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu berkata, kejadian ikan mati di tepi muara sungai itu disedari nelayan ketika pulang dari laut kira-kira jam 9 pagi.
Menurutnya, antara jenis ikan yang ditemui mati termasuklah ikan duri, belukang, siakap dan gelama.
"Saya dimaklumkan tentang kejadian ini oleh salah seorang nelayan ketika datang ke jeti sungai itu kira-kira jam 11 pagi.
"Berdasarkan pemerhatian dan maklumat daripada beberapa nelayan, ikan-ikan itu mungkin mati di sebelah hulu sebelum dihanyutkan dan terapung berhampiran jeti ketika air surut," katanya.
Andansura berkata, nelayan mendakwa mereka tidak nampak ikan-ikan mati itu ketika keluar ke laut pada awal pagi.
"Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dihubungi berhubung perkara itu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu katanya, isu pencemaran Sungai Balok itu perlu diberi perhatian serius pihak berwajib termasuk JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menilai dan mengemukakan tindakan bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Balok.
"Ia susulan pencemaran yang dikesan berlaku di sungai itu sudah dua kali dalam tempoh sebulan ini termasuk hari ini (Khamis).
"Kita minta agensi terlibat menyiasat dan mengemukakan hasil siasatan pencemaran sungai ini kepada umum sebagai amaran kepada orang ramai yang menjalankan aktiviti menangkap sumber perikanan di sungai itu," katanya.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan ikan dan hasil sungai itu tidak tercemar, selamat dimakan dan tidak memudaratkan.
"Pada masa sama, pihak JAS dan JPS perlu ada pelan atau perancangan munasabah untuk memelihara sungai ini.
"Berdasarkan maklumat, terdapat banyak pokok tumbang yang menyekat aliran air dari hulu sungai ini sehingga mengganggu aliran dan menyekat sampah yang hanyut," ujarnya.
Tambah beliau, turut dicadangkan supaya diadakan program pemulihan Sungai Balok secara komprehensif bagi memulihkan keyakinan orang ramai keadaan sebenar sungai itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!