Sanusi terikat dua kes menghasut di mahkamah esok

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

SHAH ALAM – Meskipun telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, namun Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih terikat dengan dua kes menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, di Mahkamah Tinggi di sini.

Menteri Besar Kedah itu perlu hadir ke mahkamah pada jam 2 petang Jumaat bagi mengetahui status representasi supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji pertuduhan termasuk menggugurkan kes itu.

Untuk rekod, ini merupakan representasi kedua Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas terbabit selepas permohonan pertamanya ditolak AGC, pada Mei lalu.

Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari lalu, perbicaraan dua kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.

Sebelum ini, perbicaraan kes pemimpin Pas yang sepatutnya bermula Julai lalu, ditangguhkan bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan bagi pihak Sanusi, 50, telah menghantar representasi kepada AGC, pada awal bulan itu.

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 September untuk pengurusan kes dan turut melapangkan tarikh perbicaraan 23, 29 dan 30 Julai, serta 5, 6, 9, 12, 13, dan 23 Ogos yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini.

Peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, pihaknya percaya AGC memerlukan masa untuk pertimbangkan representasi serta meneliti perkembangan baharu dalam kes terbabit.

Pada Rabu, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.

Sultan Sharafuddin bertitah menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi di atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!