Lelaki maut diserang gajah belakang SK Tenggaroh

Keadaan salah seorang mangsa yang diserang gajah liar di Felda Tenggaroh 5, Mersing- Foto tular
Keadaan salah seorang mangsa yang diserang gajah liar di Felda Tenggaroh 5, Mersing- Foto tular
A
A
A

MERSING - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja kontrak pembersihan sekolah maut manakala rakannya cedera parah dipercayai akibat diserang gajah dalam kejadian di Felda Tenggaroh 5, di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 11 pagi.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku berhampiran hutan simpan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenggaroh Lima.

“Dua pekerja kontrak pembersihan terbabit bertindak menghalau seekor gajah liar dari mendekati kawasan sekolah. Bagaimanapun mereka diserang gajah liar tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Sharif Shai Sharif, akibat daripada serangan itu, seorang daripada mereka cedera di bahagian leher kiri dan dada kiri sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.

Manakala seorang lagi katanya, cedera di kepala, pendarahan dalam perut dan patah tulang pinggul dirujuk di Hospital Mersing sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

"Mayat dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kes diklasifisasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai dinasihatkan agar melaporkan masalah haiwan liar kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri sehingga menyebabkan konflik seterusnya mencetuskan konfrontasi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!