Guru GISBH rotan murid kerana buang sampah

Muhammad Barur dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan GISBH. Foto Bernama
Muhammad Barur dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan GISBH. Foto Bernama
A
A
A

KLANG – Seorang guru di pusat pendidikan dan kebajikan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, bahawa dia merotan murid berusia 11 tahun sebanyak lima kali kerana mangsa membuang sampah merata-rata.

Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, yang memakai baju T berwarna merah, membuat pengakuan itu selepas mengesahkan fakta kes bagi empat pertuduhan yang dihadapinya di hadapan Hakim, Noridah Adam.

Berdasarkan fakta kes itu, bertindak atas maklumat kegiatan eksploitasi kanak-kanak, pada jam 6.30 pagi, 11 September lalu, pengadu iaitu pegawai polis bersama pasukannya telah membuat pemeriksaan di pusat pertubuhan kebajikan dan pendidikan itu di Bukit Raja di sini.

Di lokasi terbabit, pihak polis menjumpai sembilan kanak-kanak termasuk murid-murid yang dianiaya.

Hasil pemeriksaan pada telefon bimbit tertuduh mendapati, terdapat rakaman video yang menunjukkan seorang kanak-kanak dirotan sebanyak lima kali di tapak tangan kanan.

Selepas disoal, murid lelaki itu mengesahkan dia telah dirotan pada waktu petang, sekitar Julai lalu, kerana membuang sampah merata-rata.

Tertuduh merupakan penjaga premis kebajikan dan pendidikan itu bertanggungjawab untuk menjaga penghuni asrama di pusat berkenaan.

Selepas disoal, tertuduh mengaku telah menganiaya kanak-kanak itu yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan menekan dada seorang lagi murid lain yang berusia 10 tahun sehingga menyebabkan mangsa meraung kesakitan, tertuduh mengaku merakam sendiri video berkenaan.

Menerusi fakta kes yang diakui lelaki bujang itu, pada 16 September lalu, pihak polis mendapati terdapat satu rakaman di laman sosial, kegiatan penderaan ke atas kanak-kanak oleh GISBH.

Selepas disoal siasat, tertuduh mengaku memberi maklumat tanpa paksaan dan menunjukkan rotan, kayu penyapu dan raket badminton yang digunakan untuk merotan mangsa.

Ekoran pengakuan itu, dia didakwa atas empat pertuduhan menganiaya dengan merotan tiga murid, yang mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Semasa menjatuhi hukuman, Noridah memerintahkan warden asrama di pusat kebajikan dan pendidikan GISBH itu menjalani hukuman bermula tarikh tangkap, 11 September lalu.

“Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia dikenakan hukuman penjara masing-masing dua tahun manakala baki dua lagi kes, masing-masing selama tiga tahun.

“Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan, bermula tarikh tangkap,” kata hakim itu.

Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dan cagaran berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sekiranya gagal, mahkamah memerintahkan dia dikenakan penjara tambahan selama enam bulan, bagi setiap kes.

Mengikut tiga pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun, telah menganiaya dengan merotan semua mangsa, yang mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Bagi pertuduhan keempat pula, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dengan menekan dada menggunakan lutut, yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah sekolah rendah agama, di Bandar Bukit Raja di sini, pada Jun, Julai dan bulan ini.

Semua kes dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

@sinarharianonline

Guru GISBH rotan murid kerana buang sampah #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #GISBH #Guru #Rotan #BuangSampah

Hard News - DM Production

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!